Pembaziran masa melibatkan kerugian yang besar dari segi pembelajaran. Pembaziran masa ini boleh mengurangkan produktiviti dan boleh menimbulkan masalah. Jika ditinjau dari segi pembelajaran, gangguan dan pembaziran masa merupakan masalah yang menjejaskan pelajaran yang seterusnya mengakibatkan seseorang pelajar itu kandas dalam peperiksaan. Faktor dalaman iaitu diri sendiri dan faktor luaran atau persekitaran meletakkan seseorang dalam perangkap masa.
Faktor dalaman dapat ditangani jika anda berjaya mendisiplinkan diri sendiri supaya semua tugas dapat disesuaikan dalam masa yang ditetapkan. Faktor luaran pula dapat ditangani jika anda berjaya mendisiplinkan diri sendiri dalam melaksanakan tugas di samping memberi ruang kepada orang lain untuk membantu melindungi anda daripada sebarang tekanan.Berikut merupakan contoh keadaan atau situasi pembaziran masa yang boleh diatasi:
1. Pelawat Tidak Diundang
Pelawat yang tidak diundang boleh didefinisikan sebagai mereka yang berkunjung tanpa memberitahu terlebih dahulu dan kadangkala tidak dialu-alukan. Biasanya, pelawat muncul di pintu rumah atau di tempat anda belajar pada saat-saat yang paling kritikal contohnya ketika mengulangkaji dan membuat kertas kerja.
Kunjungan tidak dapat dielakkan tetapi hal ini tidak akan menghalang kerja-kerja anda sekiranya anda tahu mengendalikannya secara jujur dan terbuka. Sekiranya seseorang bertanya, “Ada sedikit masa untuk saya?” Jawab “Tidak” dengan jujur di mana menyatakan “Tidak” menunjukkan anda serius tentang pengurusan masa. Selain itu, anda boleh menyiapkan tugasan di perpustakaan dan sentiasa menutup pintu rumah atau bilik anda kerana orang akan lebih mudah datang berkunjung sekiranya mereka ternampak anda. Galakkan temu janji. Orang yang menemui anda akan lebih menghormati masa anda sekiranya temujanji diperlukan.
2. Gangguan Telefon dan SMS
Telefon terutamanya telefon bimbit pada masa sekarang, merupakan alat perhubungan yang sangat berguna, namun ia boleh menjadi gangguan yang serius kepada kita. Menurut beberapa kajian sosial di internet, telefon bimbit diiktiraf sebagai ‘the biggest culprit’ yang sering mengganggu konsentrasi seseorang ketika sedang bekerja, mengendalikan mesyuarat, perbincangan dengan klien, ataupun semasa sedang khusyuk mengulangkaji pelajaran. Setiap panggilan telefon atau SMS (sistem pesanan ringkas) adalah mempunyai prioriti atau kepentingan yang berbeza, dan anda mempunyai kuasa untuk menapisnya. Panggilan dan SMS penting selalunya berkaitan dengan urusan keluarga misalnya, atau orang yang anda fikir berkepentingan untuk dilayan tanpa mengganggu konsentrasi belajar. Untuk panggilan dan SMS yang anda rasa agak rendah prioritinya, bolehlah untuk anda biarkan tanpa berjawab.
Kumpulkan semua panggilan dan SMS yang kurang penting tersebut dan pilih masa yang sesuai untuk dihubungi. Sekiranya perlu, beritahu orang yang selalu menghubungi anda tentang masa yang sesuai untuk menelefon atau menghantar SMS. Telefon bimbit anda boleh diletakkan dalam mod ‘vibrate’ atau senyap, bermakna anda tidak akan diganggu semasa sedang asyik belajar.
3. Pengaruh Televisyen dan Internet
Manusia inginkan hiburan. Setelah penat bekerja memerah otak, hiburan boleh membantu meringankan bebanan fikiran. Televisyen menjadi sumber hiburan yang paling popular. Televisyen mempunyai pengaruh yang kuat dalam menarik perhatian anda. Akibat terlalu leka menonton, banyak kerja terbengkalai. Begitu jualah dengan internet, yang merupakan medan pelayaran maklumat yang bersifat infiniti. Selalu jua seseorang itu mudah menghabiskan masa berjam-jam lamanya di hadapan skrin komputer melayari laman web yang tidak berfaedah, tanpa menyedari bahawa masa yang berlalu itu bersifat tidak produktif dan sia-sia.
Untuk mengatasi masalah tersebut, anda harus menentukan secara khusus rancangan yang ingin ditonton di televisyen atau perkara yang perlu dilayari dalam internet. Ini memberi peluang kepada anda untuk mengatur perancangan kerja dengan rapi mengikut jadual yang ditetapkan. Kadang-kadang, ada di antara pelajar yang mengkhususkan satu hari yang diisytihar sebagai ‘hari berehat’ tanpa perlu mengulangkaji pelajaran dan sebagainya berkaitan akademik. Maka, inilah harinya untuk anda menatap sepuas-puasnya rancangan di televisyen ataupun melayari internet.
4. Tiada Keutamaan Kerja
Faktor utama dalam menentukan keutamaan ialah dengan menyedari kedudukan atau peranan anda ketika itu. Anda seharusnya menggariskan beberapa matlamat dalam konteks “pelajar cemerlang”. Contohnya rakan-rakan mengajak anda keluar menonton wayang. Kebetulan ada kertas kerja yang perlu disempurnakan dalam beberapa hari lagi. Oleh itu, anda haruslah bijak menentukan dan memilih sama ada hendak pergi menonton wayang atau menyiapkan kertas kerja yang merupakan prioriti utama.
Anda perlu ada keputusan yang berkait rapat dengan peranan anda sebagai pelajar. Anda mungkin berasa kecewa kerana tidak dapat menonton filem tetapi anda akan lebih kecewa jika gagal dalam kursus yang diambil kerana menidakkan kepentingan untuk menyiapkan kertas kerja tepat pada masanya.
5. Sering Memberi Alasan
Pengurusan masa memerlukan disiplin diri yang mantap. Malangnya manusia sering bersikap acuh tak acuh atau cuba berselindung dengan pelbagai alasan. Apabila alasan kerap digunakan, timbul kesan sampingan yang negatif dan akhirnya memberi tekanan kepada diri sendiri.
Bagi mengatasi sikap tersebut, anda harus menganggap kerja yang dilakukan itu satu tanggungjawab. Seandainya kerja itu diabaikan, ia akan memberi kesan psikologikal pada diri sendiri, seolah-olah tidak melaksanakan tanggungjawab anda. Pengabaian tugas atau kerja rutin akan menjadikan anda bimbang dan resah yang akhirnya memerlukan anda bertindak secara spontan dan terburu-buru.
Sekiranya anda biasa memberi alasan, anda akan leka dengannya lebih-lebih lagi jika alasan yang diberi dapat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam sesuatu situasi. Anda perlu menghapuskan sikap ini dengan segera dan menggantikannya dengan sikap yang lebih positif.
6. Menghadapi Tekanan
Tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu boleh menyebabkan banyak kerja atau produktiviti tergendala. Walau bagaimanapun, tekanan yang terkawal boleh membantu mempertingkatkan tugas. Tekanan yang terkawal boleh dijadikan rangsangan untuk mencapai kejayaan.
Dalam keadaan yang tertekan, anda tidak dapat mengendalikan masa dengan baik. Masalah lain seperti gangguan dan ketidakseimbangan fikiran juga timbul. Ini menganggu kesihatan. Apabila kesihatan terganggu, anda tidak mampu menggunakan masa dengan baik.
Ketika menghadapi tekanan, anda harus menyedari kekuatan dan kelemahan diri supaya sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan lebih produktif. Contohnya, tugas yang memerlukan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi boleh dilaksanakan pada sebelah pagi. Tugas yang tidak banyak menggunakan daya pemikiran dan kreativiti boleh dilakukan pada sebelah petang. Perancangan tugas boleh dilakukan mengikut kemampuan dan keselesaan berdasarkan kekuatan dan kelemahan diri anda sendiri.
Anda perlu memperkukuhkan dan mengekalkan emosi yang positif seperti harga diri, kejayaan, kebahagiaan dan harapan semasa menghadapi tekanan. Ia dapat menambahkan keberkesanan berfikir. Perasaan negatif tidak harus dilayan kerana ia boleh menambahkan kekecewaan dan rasa tertekan.
Setiap kali menghadapi tekanan, manusia cenderung mengasingkan diri. Ini menambahkan kegusaran. Oleh itu, anda perlu terus menjalinkan hubungan yang sihat dan harmoni dengan orang lain. Ini menggalakkan perkongsian perasaan yang membantu mengurangkan tekanan. Anda boleh meleraikan diri daripada kerungsingan atau rasa tertekan dengan merehatkan diri sama ada melalui latihan istirahat seperti meditasi, joging, bersukan atau bercuti.
Hebat macam mana pun kita,, kita xkan dapat undur masa walau sesaat pun,,,, renung2kan sebelum terlambat...n_n
ReplyDelete