Monday 22 August 2011

Ramadan mengajar umat tingkat pengurusan masa


MASA itu emas. Satu ungkapan yang sering disebut tetapi gagal difahami secara mendalam maknanya oleh kebanyakan kita. Ungkapan itu secara ringkas menunjukkan masa sangat penting dan perlu dihargai kerana masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali.
Kita sering mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Ungkapan itu memberi makna tidak baik kepada orang Melayu yang pasti seorang Muslim. Ungkapan itu bukan saja menunjukkan sikap tidak menepati janji, tetapi juga sikap mengabaikan masa di kalangan Muslim.
Ungkapan itu seolah-olah menunjukkan orang Melayu suka tiba lewat. Di pejabat, majlis rasmi, tidak rasmi atau kehadiran di mesyuarat, kerap kali ada saja yang tiba lewat.
Mereka seolah-olah menganggap tiba lewat satu kelebihan dan tidak langsung rasa bersalah mengabaikan masa yang ditetapkan bagi sesuatu majlis. Inilah sikap sebahagian besar kita terhadap masa dan sikap itu perlu diubah.
Ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada Muslim untuk meningkatkan ibadah dan membuktikan ketaatan kepada Maha Pencipta tetapi juga membuka peluang menilai dan memperbaiki diri termasuk menghargai masa.
Bagaimana cara menghargai masa ketika Ramadan? Mereka yang menyedari kepentingan masa akan menggunakannya sebaik mungkin, sama ada pada Ramadan mahupun bulan lain.
Ketetapan masa untuk bersahur, berbuka dan beribadat dianggap rahmat dalam mengatur perjalanan hidup seorang Muslim.
Bukan itu saja, masa melakukan kegiatan lain seperti bersama keluarga, bekerja dan bermasyarakat juga digunakan sebaik mungkin kerana Ramadan bukan saja bulan untuk meningkatkan keimanan tetapi juga memperbaiki hubungan sesama manusia. Pendek kata, Ramadan adalah masa tepat untuk memperbaiki lagi apa yang sudah menjadi kebiasaan.
Berbeza dengan mereka yang tidak tahu menghargai masa. Ketetapan masa yang diperuntukkan pada Ramadan dirasakan begitu menyeksakan. Mereka perlu bangun awal untuk bersahur dan tanpa tidur lagi, perlu pula bersiap ke tempat kerja. Rasa mengantuk dan keletihan terbawa-bawa di tempat kerja dan ini mempengaruhi seseorang.
Perasaan terganggu itu memberi kesan dalam perhubungan sesama manusia apabila kata-kata manis dan baik tidak mampu diucap dan hanya senyum pudar dilontarkan. Dipendekkan cerita, aturan masa yang ditetapkan pada Ramadan dirasakan begitu mencabar dan menyeksakan.
Begitu juga penggunaan masa di kalangan manusia. Walaupun ada pelbagai cara manusia menggunakan masa, penggunaannya dengan cara yang betul dan bijak sangat dituntut. Apatah lagi pada Ramadan mulia ini, penggunaan masa sebaik mungkin amat penting kerana bulan penuh keberkatan ini menjanjikan pelbagai faedah.
Jika tidak dimanfaatkan masa dengan kegiatan berfaedah, maka terlepas segala keuntungan yang dijanjikan untuk seluruh Muslim. Oleh itu, masa ketika Ramadan perlu digunakan sebijak mungkin.
Kebijaksanaan itu meliputi kemampuan mengatur kegiatan yang dilakukan. Rancang masa untuk bermunajat, menilai diri, berfikir mengenai ciptaan-Nya dan masa untuk memenuhi keperluan hidup manusia seperti berehat, bekerja, berkeluarga dan bermasyarakat.
Matlamat perancangan adalah melihat setiap kegiatan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan seterusnya bermanfaat dalam kehidupan diri serta insan di sekeliling kita.
Penerangan yang disebutkan di atas menunjukkan masa perlu dihargai dan dihayati kepentingannya. Ketetapan untuk melakukan sesuatu perkara pada sesuatu masa ketika Ramadan harus diterima sebagai kaedah mendidik diri setiap Muslim.
Kerap kali kita mendengar Ramadan adalah bulan yang penuh dengan unsur pendidikan meliputi pendidikan keimanan, persaudaraan sesama Muslim, penjagaan kesihatan dan menghargai masa.
Oleh itu, kita wajar menggunakan kelebihan bulan ini untuk mendidik diri dan insan yang dikasihi. Pengajaran yang diperoleh hendaklah berterusan, bukan hanya ‘hangat’ pada bulan mulia ini.
Untuk menghayati kepentingan masa, hayati pepatah Arab yang menyebut, ‘masa seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu’.
Oleh itu, berilah perhatian kepada penjagaan masa dan jangan izinkan diri ditewaskan masa kerana ini akan merugikan diri. Ingatlah sesungguhnya orang beriman itu sentiasa menghayati dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.

Tuesday 16 August 2011

8 cara mudah untuk meningkatkan pengurusan masa anda


Adakah anda seorang yang mempunyai masalah untuk menguruskan masa? Sekiranya anda mengalami kesukaran ini, berkemungkinan anda tidak mengetahui teknik asas untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Disini t5 akan menyenaraikan 8 cara mudah untuk meningkatkan pengurusan masa anda.
Tahu yang anda sebenarnya mempunyai masalah untuk menguruskan masa- Mengetahui bahawa anda mempunyai masalah pengurusan masa adalah langkah pertama untuk mengubah sikap anda. Berkemungkinan kadang-kadang anda akan terlambat untuk pergi bekerja atau menghadiri aktiviti sosial, tetapi ia seharusnya tidak berlaku pada setiap hari atau setiap minggu. Sekiranya anda masih melakukan kesalahan yang sama berulang-ulang kali, ia bermakna anda masih tidak menyedari masalah anda.
Mengambil keputusan untuk berubah- Apabila sudah mengetahui masalah sebenar, anda perlu mengambil keputusan untuk melakukan perubahan di dalam hidup anda. Keputusan yang telah diambil perlu disertakan dengan tindakan untuk mencapai sesuatu objektif yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, mungkin anda mengambil keputusan untuk tidak lagi datang lewat ke tempat kerja, ia juga perlu disertakan dengan tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan untuk mengelakkan anda datang lewat seperti tidur awal, kurangkan melepak bersama rakan pada waktu malam dan sebagainya.
Tetap dengan objektif anda- Usaha yang dilakukan untuk menjadi seorang yang lebih menghargai masa bukanlah satu perkara yang mudah untuk dicapai. Berkemungkinan sebulan anda mampu untuk sampai kerja awal, tetapi selepas itu ia akan kembali seperti sedia kala. Anda perlu tetap dengan objektif kehidupan. Pastikan anda selalu mengingati tujuan hidup dan sentiasa berusaha untuk mencapainya. Lama kelamaan ia akan sebati dengan cara hidup anda.
Buat senarai tugas harian- Membuat senarai yang harus dilakukan untuk diri sendiri adalah cara yang mudah untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Catitkan apa yang harus anda lakukan sepanjang hari. Pastikan senarai tugasan yang anda lakukan mengikut terhadap kepentingan sesuatu perkara itu.
Peralatan pengurusan masa- Pasti ia merupakan satu kesukaran untuk otak anda mengingati segala tugasan harian yang perlu dilakukan.  Ia juga merupakan suatu perkara yang agak mustahil. Anda perlu bijak untuk menggunakan peralatan yang berada di sekeling anda dengan lebih baik. Sebagai contoh, pada zaman yang serba canggih ini, pasti setiap orang mempunyai telefon bimbit sendiri. Catatkan nota yang perlu anda lakukan atau gunakan sistem amaran peringatan(reminder) untuk mengingatkan anda melakukan sesuatu tugasan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Bijak untuk menerima atau menolak suatu pelawaan-  Sudah pasti anda pernah mengalami situasi dimana anda sedang cuba menyiapkan kerja dan dalam masa sama rakan-rakan anda mengajak untuk keluar minum atau sebagainya. Anda seharusnya lebih bijak untuk menangani situasi ini. Anda perlu tahu kesan sekiranya anda menerima atau menolak pelawaan tersebut. Sekiranya anda menerima pelawaan tersebut tetapi ia akan menyebabkan anda terlewat untuk menyiapkan tugasan pada tarikh yang telah ditetapkan, anda dinasihatkan untuk menolaknya. Urus masa anda dengan lebih bijak.
Sistematik- Melakukan suatu tugasan dengan bersistematik dapat membantu untuk menguruskan masa dengan lebih baik. Pasti sepanjang hari banyak perkara yang ingin anda lakukan selain bekerja sahaja seperti bermain dengan anak, keluar bersiar-siar dan sebagainya. Rancang masa anda dengan bersistematik supaya anda dapat menikmati kepelbagaian kehidupan harian anda. Ini juga dapat membantu untuk mengelakkan anda daripada melalui kehidupan yang membosankan.
Dapatkan bantuan pakar- Sekiranya anda masih lagi menghadapi kesukaran untuk menguruskan masa, anda perlu mendapatkan nasihat pakar. Berkemungkinan jadual pekerjaan anda yang terlalu padat memberi kesulitan kepada anda untuk merancang masa dengan lebih baik. Pakar sudah semestinya lebih mengetahui penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu.

Monday 15 August 2011

3 tips pengurusan masa yang baik


Pengurusan masa yang baik adalah merupakan kunci kejayaan seseorang. Ini kerana orang yang berjayamenguruskan masa pasti akan memperoleh kehidupan yang seimbang. Mereka berjaya untuk memperuntukkan masa terhadap diri sendiri dan juga untuk orang lain. Tetapi bagaimanakah untuk mendapatkan pengurusan masa yang baik?
Peruntukkan masa untuk melakukan satu-satu tugasan- Dalam kehidupan seharian, pasti anda akan sibuk dengan tugasan kerja yang mungkin tidak akan habis. Jangan sesekali cuba untuk menyiapkan kerja itu secara sekaligus.  Rancang dan peruntukkan masa untuk satu-satu tugasan. Sekiranya anda mampu untuk melakukanpengurusan masa yang baik, pasti anda berkesempatan untuk melakukan aktiviti yang anda inginkan.
Senaraikan keutamaan anda- Untuk seseorang yang terlalu sibuk dengan kerja harian, anda perlu sentiasa menyenaraikan keutamaan yang anda ingin lakukan pada hari-hari tertentu. Ini adalah untuk memudahkan pengurusan masa anda. Pasti anda tidak akan mampu untuk melakukan perkara yang diinginkan untuk setiap hari. Tetapi anda boleh menyenaraikan keutamaan yang perlu diberikan mengikut hari-hari yang bersesuaian. Sebagai contoh, mungkin hari sabtu keutamaan diberikan terhadapkeluarga. Sekiranya ada tugasan yang perlu disiapkan, anda tidak perlu runsing untuk memikirkannya kerana anda sudah tahu hari itu keutamaan telah diberikan terhadap keluarga. Peruntukkan untuk menyiapkan tugasan pada hari yang kerja menjadi keutamaan pula.
Hargai masa- Pasti tidak akan wujud masalah pengurusan masa sekiranya anda sendiri tahu bagaimana untuk menghargai masa. Hargailah setiap masa yang anda lalui. Jangan sesekali mempersiakan masa anda. Ini adalah merupakan kunci utama untuk anda mendapatkan kehidupan yang lebih seimbang.

Tuesday 2 August 2011

Ingat 5 Perkara sebelum...........


MASA tidak akan menunggu kita walaupun sesaat. Manusia sentiasa berhubung dengan masa dalam ‘pengembaraan’ mereka di muka bumi ini yang bermula daripada kelahiran sehingga dijemput pulang mengadap Ilahi.
Ia ibarat pedang, sekiranya tidak mencantas, masa pasti memintas kita. Masa ibarat senjata tajam yang amat bermanfaat dan menguntungkan manusia sekiranya digunakan dengan baik.
Sebaliknya, jika tidak betul cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri. Mereka yang tidak tahu memanfaatkan masa akan jauh ketinggalan sama ada dalam agama, pemikiran, teknologi atau politik.
Bukan saja tertinggal jauh di belakang, malah bagi yang tidak memanfaatkan masa dengan baik, mereka berdepan keburukan akibat kesilapan mengurus masa.
Justeru, seharusnya masa digunakan untuk beramal dan mendekatkan diri kepada Allah untuk mencapai matlamat hidup sebagai Muslim yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah Masa (al-Asr).
Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.
Rasulullah sudah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu:
Masa muda sebelum tua.
Masa sihat sebelum sakit.
Masa kaya sebelum miskin.
Masa lapang sebelum sibuk.
Masa hidup sebelum mati.
Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.
Ini kerana apa yang terjadi pada hari tua akan ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda. Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua, keremajaan hanyalah kenangan.
Masa tua adalah segala-galanya, sudah tiada kekuatan untuk bekerja, selera makan menurun dan menghidap pelbagai jenis penyakit.
Apabila sudah mencapai usia emas, pasti berbahagia dan gemilang bagi mereka yang mengurus masa dengan baik ketika mudanya.
Bagi yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga emas yang malang. Tidak selesai di dunia, malah di akhirat kelak mereka akan dipersoalkan apa yang dilakukan ketika zaman remajanya.
Selain itu, nikmat kesihatan juga perlu dihargai. Tubuh badan kita adalah milik Allah, maka wajib kita menjaga amanah ini dengan sebaik mungkin.
Sebarang bentuk perbuatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah ‘kebinasaan’.
Ramai yang tidak menghargai nikmat kesihatan ini. Buktinya ramai yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, arak serta lumba haram yang akhirnya membawa kesengsaraan.
Ingatlah hidup tidak terhenti di sini saja kerana akhirat kelak kita akan ditanya bagaimana kesihatan digunakan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.
Jika dikurniakan badan yang sihat, jangan digunakan untuk tujuan membunuh, merompak, memeras ugut atau meragut. Amat tidak elok jika kita boleh bermain bola sehingga berjam-jam tetapi meninggalkan solat yang hanya untuk beberapa ketika saja.
Sanggup berjaga malam untuk berkaraoke sampai pagi sehingga solat Subuh dua rakaat ditinggalkan terus. Ingatlah, di akhirat nanti kita akan ditanya.
Kekayaan juga tidak kekal selama-lamanya. Ia boleh bertambah dan hilang sekelip mata. Justeru, kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.
Harta boleh dicari sebanyak mungkin tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilaknat dan diazab. Usah menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.
Kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta, kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang dan dengan harta juga boleh ke syurga atau ke neraka.
Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dilepaskan adalah masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal, tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”
Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan mereka lakukan.