Monday 3 December 2012

10 Tips Pengurusan Masa Berkesan


Kita sering merasa terburu-buru mengejar masa kerana perlukan masa yang banyak bagi melakukan aktiviti harian. Keadaan ini akan menyebabkan kerja yang kita lakukan menjadi kelam kabut. Post kali ini berkaitan dengan 10 tips pengurusan masa berkesan


1)     Set Matlamat dan strategi


Pastikan apa matlamat kita dalam jangka sama panjang dan pendek. Dengan merancang matlamat tersebut, kita akan tahu apa perlu dicapai dan mengapa perlu kita capai matlamat tersebut bagi memudahkan kita membuat keputusan perkara penting yang perlu diselesaikan.

2)     Fokus matlamat .


Kita akan memberi lebih tumpuan dalam melakukan kerja sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Buat sesuatu kerja dengan memastikan kerja tersebut merupakan perkara yang utama perlu diselesaikan.

3)     Buat Jadual masa.


Bukankah mudah bagi kita untuk merancang kerja yang perlu dilakukan? Set tempoh masa untuk menyelesaikan kerja kerana ini akan mengurangkan rasa risau kerana merasa tidak mencukupi masa.

4)     Utamakan matlamat asal


Jangan lakukan sesuatu tugas lain sebelum menyelesaikan tugas yang kita sedang lakukan. Sentiasa periksa jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Bilakah tugas yang sedang dilakukan itu boleh selesai? Ini akan memastikan tugas yang sedang dibuat akan mencapai matlamat yang berkualiti.

5)     Mewujudkan sistem pemfailan




Apabila kita telah merancang sesuatu matlamat penting untuk kita mewujudkan sistem dalam pengurusan masa. Salah satu sistem yang boleh kita wujudkan adalah sistem pemfailan yang teratur, pengurusan maklumat dan komunikasi.


6)     Realiti Pengurusan masa kita


Sentiasa renung kembali kepada pencapaian yang kita buat. Sama ada kita melakukan dengan berkualiti atau sebaliknya. Bahagi-bahagikan matlamat yang dicapai dengan matlamat yang belum dicapai boleh memudahkan kita menentukan matlamat mana yang lebih penting.

7)     Kerjasama


Apabila melakukan sesuatu projek atau kerja adalah lebih cepat terhasil apabila bekerjasama dengan kumpulan kerja kerana akan lebih menjimatkan masa, boleh memberi motivasi diri, meningkatkan keyakinan dan boleh mengembangkan kemahiran masing-masing

8)     Pencapaian Lalu


Lihat kembali pencapaian kejayaan kita  yang lalu dalam sesuatu kerja.  Gunakan teknik ini dengan memperkembangkan lagi fokus dalam matlamat yang perlu kita capai. Bayangkan kita kerja hari ini kerana kita perlu bercuti pada esok hari.

9)     Kehidupan harian


Rancang jadual aktiviti harian juga amat penting kerana kehidupan kita ini adalah bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Pengurusan masa adalah pengurusan kehidupan harian kita.

10)Selesaikan tugas hari ini


Cuba selesaikan tugas pada hari ini. Jangan bertangguh. Dengan menyelesaikan tugas pada hari ini kita dapat merancang tugas esok pula. Sebelum meninggalkan tempat kerja, kita perlu rancang apa  tugas yang perlu kita lakukan pada hari esok. Ini mengelakkan rasa risau tentang tugas yang perlu dilakukan dan bersedia untuk melakukan tugas pada hari esok sebelum balik dari pejabat.

Setiap orang mempunyai bilangan  masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Jangan katakan kita tidak mempunyai masa yang cukup kerana dengan pengurusan masa yang bijak memastikan kita boleh bekerja, bersama-sama keluarga serta berehat dan tidur dengan cukup.

Sunday 25 November 2012

5 Langkah Mengelak Pembaziran Masa.



pembaziran masa 300x282 5 Langkah Mengelak Pembaziran Masa.
Setiap masa pasti ada saja manusia yang menghabiskan masa dengan sia-sia atau membazir. Perkara nie berlaku kepada semua manusia. Ada manusia yang tidak pandai mengatur masa yang ada dengan benda atau kerja yang berfaedah.  Ada jugak manusia yang pandai mengatur masa, tetapi dalam masa yang sama mereka tetap membazirkan masa. Korang semua mesti ada mengalami masalah sebegini.
So, kali nie Pengembara Ilmu nak kongsikan ‘ilmu’ dengan korang semua tentang 5 cara + tips + langkah yang sesuai untuk korang amalkan supaya masa yang ada dapat digunakan dengan BERFAEDAH..
JIKA TIDAK BERBALOI, JANGAN LAKUKAN.
Petua nie digunakan jika korang tak yakin dengan hasil kerja yang korang akan perolehi. Korang jugak merasakan hasil yang diperolehi tidak seberapa dengan kerja yang telah korang lakukan dengan bersungguh-sungguh. Contohnya lah kan, kalaulah korang nie terima tempahan untuk menyediakan sebuah reka bentuk taman tema,tapi korang tahu syarikat yang membuat tempahan tersebut mempunyai rekod yang tidak baik dalam soal pembayaran. Korang  jugak dapat mengagak yang korang tak kan dapat bayaran yang setimpal dengan kerja yang korang akan buat. Jadi, korang JANGAN LAKUKAN kerja tersebut kerana ianyaTIDAK BERBALAOI dengan kerja yang akan korang buat. Jadi, tak da lah korang membazirkan masa dengan membuat sesuatu yang tak mendatangkan hasil pada korang.
JANGAN MENGALAH TERLALU AWAL
Ini satu lagi tips untuk korang supaya tak bazirkan masa. Kalau korang dah lakukan satu-satu kerja dengan bersungguh-sungguh, dengan komitmen yang tinggi, korang JANGAN MENGALAH dahulu kalau terdapat masalah dalam kerja tersebut. Cuba untuk selesaikan masalah yang ada dan berusaha dengan berlipat kali ganda lagi. Bayangkan, kalaulah korang berputus asa ditengah jalan, kan ke rugi masa yang telah korang habiskan untuk buat kerja tersebut. Penghujungnya, masa terbuang, hasil pun tak da…rugi-rugi-rugi…
TAHU BILA BERHENTI
Tips ketiga nie adalah gabungan tips pertama dan kedua. Bila korang dah pastikan kerja tue memang berbaloi, korang laksanakan kerja tersebut. Korang berikan sepenuh perhatian pada kerja tersebut dan berusaha sehabis yang boleh. Walaupun ada rintangan, korang tak mengalah terlalu awal. Tetapi sebelum tue korang kena pertimbangkan masalah-masalah lain yang mungkin akan timbul kalau kotang teruskan kerja tersebut. Misalnya, korang kena fikirkan sumber korang cukup atau tak. Sumber kewangan, sumber manusia, sumber tenaga, sumber kekuatan dalaman dan sebagainya. Masalah nie korang kena pertimbangkan sebelum korang buat keputusan sama ada korang nak berhenti atau tidak dari buat kerja tersebut.
ALAH MEMBELI, MENANG MEMAKAI
Pepatah nie kita selalu dengan kalau orang nak pergi membeli belah. Tapi kali nie pepatah nie digunakan sebagai tips untuk korang jimatkan masa. Sesetengah orang sangguplah menjimatkan wang daripada menjimatkan masa. Korang paham tak??ok, contohnyalah, ada orang sanggup beratur panjang naik bas untuk sampai ke pejabat. Ada jugak yang sanggup berjalan semta-mata nak jimatkan wang, sedangkan mereka nie mampu nak membeli sebuah motosikal. Kalaulah pergi kerja dengan motosikal, bukan ke masa yang ada dapat dijimatkan. Tak da lah korang buang masa dengan tunggu bas..
BUATLAH KEPUTUSAN DENGAN CEKAP DAN TEPAT
Tips yang terakhir nie adalah mengnai cara korang membuat keputusan. Korang mesti cekap + tepat dalam mebuat keputusan harian dan rutin korang supaya masa yang ada tidak dibazirkan atau di sia-siakan begitu saja. Dan dalam masa yang sama korang dapat menyempurnakan tugas korang dengan sempurna dan cemerlang. Jangan pulak kerja yang korang buat tue ‘hendak tak hendak’ je, semata-mata korang nak jimatkan masa. Tue dah salah dah. Selain tue korang cuba perhatikan bagaimana orang yang Berjaya membuat keputusan. Dari situ korang boleh ikut cara mereka…
Tips nie sebenarnya Pengembara Ilmu perolehi daripada En. Ahmad Fadzli Yusof. Moga-moga dengan perkongsian ‘ilmu’ nie, kita dapat menggunakan masa dengan sebaiknya. Bukan kah dalam AL-QURAN itu sendiri mengajar kita supaya tidak membazirkan masa. Jadi, mari kita amalkan bersama-sama!!!

Tuesday 13 November 2012

PENGURUSAN MASA MENURUT ISLAM


Penulis: Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Penerbit: Al Hidayah Publisher, Malaysia
Cetakan: Kedua, 2000

Bab 1: Perhatian Al-Quran dan As-Sunnah terhadap masa

Masa merupakan nikmat Allah S.W.T yang sangat besar kepada manusia. Allah S.W.T berfirman di dalam Al-Quran:

  1. Surah Ibrahim: Ayat 33-34
  2. Al-Furqan: Ayat 62

Allah S.W.T  membezakan siang dan malam supaya manusia dapat membahagikan masa yang luas itu untuk hamba-Nya beramal.

  1. Al-Lail: Ayat 1-2
  2. Al-Fajr: Ayat 1-2
  3. Ad-Dhuha: Ayat 1-2
  4. al-Asr: Ayat 1-2

Tanggungjawab manusia dengan masa: (Ar-Rum: Ayat 54)

Dua kaki hamba tetap (tidak akan bergerak) di masyhar sehingakan disoal tentang empat perkara; usianya dihabiskan; usia muda yang digunakan; harta bendanya; dari mana kemana dibelanjakan dan ilmunya dengan apa dilakukan
                                                                                                      (HR al_Bazar, Thabarani)

Setiap tahun terdapat suatu bulan yang dinamakan Ramadhan (ibadat rohani) kemudian disusuli dengan ibadat haji (Ibadat Rohani dan Jasmani) (Surah al-Baqarah: Ayat 197)

“Solat lima waktu ialah neraca harian
Hari juma’at ialah neraca mingguan
Ibadat puasa ialah neraca tahunan
Ibadat haji ialah neraca seumur hidup”


Bab 2: Masa dan sifat-sifatnya

1.      Pantas Peredarannya (Al-Nazi’at: Ayat 46 dan Yunus; Ayat 45)
2.      Masa yang berlalu tak akan kembali semula
3.      Sangat bernilai, tidak boeh dimiliki oleh manusia

Al-Quran menceritakan keadaan penyesalan manusia terhadap masa

a)      Keadaan pertama: Saat penantian (surah Munafiqun: Ayat 9-10,11)
b)      Keadaan kedua: di akhirat (Fatir: Ayat 36-37)

“Allah S.W.T memberi peluang kepada hambanya sehingga menjangkau 60an” (H.R Bukhari)
                                                                                               

Bab 3: Kewajipan seorang muslim terhadap masa

1.      Memastikan masa diisikan dengan perkara-perkara yang berfaedah

Para tabi’in menyatakan:

“Setiap hari yang berlalu, apabila aku tidak dapat menambahkan amalanku kearah ketaatan kepada Allah S.W.T, maka hari itu adalah hari yang tidak berkat bagiku”

a) Membuang masa

Apabila kita menghitung, sesunguhnya seseorang yang membuang masa itu, adalah lebih rugi daripada seorang yang bodoh dalam membelanjakan hartanya. Ini adalah kerana harta boleh di cari ganti; adapun masa tidak dapat di cari ganti. Seseorang itu tidak akan dapat menjaga masanya, selagi mana ia tidak menyedari; bahaya dan kesan daripada sikap membuang masa.

Ibnu ‘Ata’ menyatakan di dalam kitabnya al_Hikam:

“Kerugian yang sebenat ialah: apabila kamu meluangkan masa lapang kamu, tanpa melakukan sebbarang pekerjaan.”

b) Mengisi masa lapang

Sabda Rasulullah SAW

“Dua nikmat daripada nikmat Allah S.W.T yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah; sihat dan masa lapang”(HR Bukhari)

Masa lapang bermaksud tidak terikat dengan urusan keduniaan dan tidak menghalang seseorang itu  daripada urusan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW

“ Ambillah peluang lima perkara sebelum kamu dihilanglan (didatangi) oleh lima perkara. Peluang masa mudamu sebelum daripada tuamu; peluang masa sihatmu sebelum daripada sakitmu; peluang masa kayamu sebelum fakirmu; peluang masa lapangmu sebelum daripada kesibukanmu dan peluang masa hidupmu sebelum daripada matimu” (HR Bukhari)


2.      Segera melakukan amal kebajikan

Al-Quran telah menjelaskan supaya manusia mendahulukan amalan-amalan kebajikan sebelum didatangi kesibukan (Surah Al-Baqarah: Ayat 148 dan al-Maidah: Ayat 148)

Dan juga Allah S.W.T menjelaskan tentang nikmat syurga sebagai galakan kepada hambaNya (Surah Ali-‘Imran: Ayat 133; Surah al-Hadid: Ayat 21)

Allah juga memerintahkan hambanya berlumba-lumba kearah memohon keampunan (Surah al-Mutaffifin: Ayat 26) dan sifat-sifat para rasul yang terpilih (Surah al-Anbiya’:90) dan ahli Kitab ( Surah ali-‘Imran : Ayat 114) dan sifat orang munafik ( Surah  al-Nisa: Ayat 142; at-Taubah: Ayat 54)

3.      Mengambil pengajaran daripada masa yang telah berlalu (Surah ali-Imran: Ayat 190; an-Nur: Ayat 44)

4.      Penyusunan masa

Rasulullah bersabda:

“Sepatutnya ke atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa, memohon kepda Allah, waktu  ia menghitung diri sendiri, waktu untuk ia memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk ia menikmati hajatnya daripada makan dan minum.”(HR Ibnu Hibban)

“Rehatkanlah hati kamu suatu waktu selepas suatu waktu, sesungguhnya hati akan menjadi buta, apabila membenci sesuatu”  Saidina Ali bin Abi Thalib

“Lakukanlah daripada amalan (ibadat) yang kamu mampu. Kerana sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu yang akan jemu. Sebaik-baik amalan kepdaAllah itu ialah berterusan walaupun sedikit”(HR Bukhari dan Muslim)

Kewajipan solat (Surah an-Nisa: Ayat 103); kewajipan puasa (al-Baqarah: Ayat 185); kewajipan haji (al-Baqarah: Ayat 197) dan mengeluarkan zakat (al-An’am: Ayat 141)

Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran tentang ketaqwaan hamba-hambanya dalam surah Yunus: Ayat 58; nikmat Surah Saba: Ayat 15; kemaksiatan Surah az-Zumar: Ayat 53; menghadapi cubaan Surah al-Baqarah: Ayat 155-156
           
5.      Memastikan masa yang terbaik

Allah memilih masa yang paling terbaik daripada sepanjang masa (Surah al-Qasas: Ayat 68)  dan waktu terbaik menunaikan ibadat ialah satu pertiga malam (Surah Adz-Dzariyat: Ayat 15-58)

“Ya Allah! Jadikan sebaik-baik umurku, di akhirnya ; sebaik-baik amalanku pada penutupnya, dan sebaik-baik hariku,adalah hariku bertemu dengan-MU”

Bulan yang dimuliakan ialah Ramadhan kerana terdapatnya malam Lailatu Qadar (al-Qard: Ayat 1-5; dan Allah juga memuliakan bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam (Surah at-Taubah: Ayat 36)

6.      Cara Hidup Muslim

“Berkatkanlah umatku pada awalnya (waktu pagi)”

“Apabila kamu tidur syaitan menjerut ke leher kamu dengan tiga ikatan; seraya berkata; kamu mempunyai malam yang panjang tidurlah. Apabila seseorang itu terjaga daripada tidurnya; dan terus berzikir kepaha Allah, maka terungkai satu ikatan, dan apabila berwudhuk terungkai ikatan kedua dan seturusnya menunaikan solat terungkai ikatan ketiga. Maka jadilah ia dalam keadaan ceria jiwanya; akan tetapi jika sebaliknya, jadilah ia didalam keadaan hina lagi bosan jiwanya” (HR Bukhari)

Membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk (Sad: Ayat 29); manusia diciptakan untuk memakmurkan bumi (surah Hud: Ayat 61)

“Sesungguhnya Allah S.W.T menyukai apabila sesseorang itu melakukan pekerjaan, ia melakukannya dengan sebaik mungkin (bersunguh-sungguh)” (HR Baihaqi)

Allah mengharamkan seseorang menghina makanan dan juga terlampau bakhil sehingga menyiksa diri sendiri (surah al Araf: Ayat 31-32).

Di negara cuaca panas kebanyakkan berhajat kepada “qailulah” iatu tidur sebentar di waktu tengah hari supaya mampu bangun di waktu malam dan bangun awal pagi (Surah an-Nur: Ayat 58)

Sifat-sifat orang beriman (Surah an-Nur: Ayat 37) sebelum tidur seseorang digalakan menambah ilmu pengetahuan (Surah Taha: Ayat 114) dan tidak digalakkan tidur lewat malam dibimbangi mengabaikan tanggungjawannya (Surah ar-Rahman: Ayat 8-9) dan umat islam tidak melupakan kewajipan atau tanggungjawabnya yang sepuluh (an-Nisa: Ayat 36)  dan kewajipan utama ialah kepada Allah (Surah al-Nahl: Ayat 53; al-Mu’minum: Ayat 2 dan 9; al-Ma’un: Ayat 4-5). Hak kedua kepada ibu bapa bersama dengan ketauhidan dan ikhlas beribadah kepada Allah (Surah al-Ahqaf: Ayat 15)  dan penutup segala kewajipan ialah kepada hamba (Surah An-Nisa: Ayat 36)

Seterusnysa sebelum seorang muslim hendak tidur, disunatkan bagi seorang muslim mengambil wudhuk dan solat dua rakaat. Ketika ia membaringkn rusuk kananya kebawah dan membaca doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW.

Bab 4: Manusia di Antara Semalam, Hari ini dan Esok

Masa yang dilalui manusia terbahagi kepada tiga bahagian:
  1. Masa yang lepas (semalam)
  2. Masa sekarang (hari ini)
  3. Masa akan datang (esok)

Manusia yang hanya melihat masa lepas:
  1. Mereka yang hanya berbangga dengan sejarah keturunan mereka dahulu
  2. Mengagungkan-agungkan sejarah peningalan keturunan yang dulu (Surah al-Azhab: Ayat 36)
  3. Mereka yang mengikutu cara hidup generasi terdahulu (Surah al-Baqarah: Ayat 170;  Surah Al-Araf: Ayat 10; Surah Hud: Ayat 62; Surah al-Aanbiya’:5 Ayat 2-53; Surah Hud: Ayat 87: Surah az-Zukhruf : Ayat 23-24 , Surah al-Baqarah: Ayat 170, Surah al-Maidah: Ayat 104)
  4. Menyesali terhadap masa yang lalu (Surah al-Imran: Ayat 156)

Manusia yang mementingkan masa hadapan sahaja. (Surah al-Hajj: Ayat 46)

a) Pandangan negatif terhadap masa hadapan: pandangan putus asa

Islam dan realiti sejarah mengajar kita bahawasanya “putus asa” tidak ada dalam kamus kehidupan muslim. Sesungguhnya setiap kehidupan akan disusuli dengan kesenangan, malam akan bertukar menjadi siang. (Surah Yusuf: Ayat 87 dan Surah al-An’am : Ayat 158)

“Berapa banyak kesempitan yang dihadapi oleh seseorang tidak dapat dihadapinya, sedangkan kelepasannya berada disisi Allah SWT”

“Tatkala kesempitan itu berlaku, dan sampai ke peringkat kemuncaknya, ianya dilepaskan dari seseorang, yang mana aku sendiri tidak menjangkakan ianya akan mendapat kelepasan”

Mereka yang putus asa terhadap masa hadapan menyatakan manusia hari ini berada di akhir zaman. Hampir ataupun masih jauh akan kiamat adalah perkara yanng tidak dapat difikirkan. Al-Quran menyatakan dalam Surah al-Azhab:63, Surah asy-syura: Ayat 17 dan Surah al-A’raf: Ayat 187.

Rasulullah SAW bersabda

“Ketika aku diutuskan, hampir akan berlakunya kiamat diantara dua jari...Lalu Rasulullah menunjukkan di antara jari telunjuk dan jari tengah” (HR Bukhari dan Muslim)

Umat Islam adalah dinasihatkan supaya berusaha dan berjihad selagi mana kelopak mata bergerak sehinga pintu taubat tertutup dan matahari terbit daripada sebelah barat (Kiamat) (Surah al-A’am: Ayat 158)

b) Menghadapi masa hadapan hanya dengan angan-angan dan mimpi sahaja

“Sesunguhnya angan-angan dan mimpi itu adalah menyesatkan

Al-Quran menjelaskan angan-angan kaum Yahudi dan Nasrani (Surah al_baqarah: Ayat 111-112); angan-angan kaum muslimin (an-Nisa: Ayat 123-124);  Keampunan Allah S.W.T hanya dikurniakan kepada mereka yang melakukan kebaikan sahaja (Surah al-Araf: Ayat 56 dan 156); sifat-sifat orang yang mengharapkan rahmat Allah S.W.T (Surah al-Baqarah: Ayat 218 dan Surah Fussilat: Ayat 23)

c) Manusia yang lalai dengan masa sekarang

Terdapat golongan yang tidak memikirkan masa yang telah berlalu ataupun masa akan datang. Mereka ialah generasi yang hidup pada hari ini...

Masa sekarang ialah masa atau detik yang dilalui seseorang.

BAB 5: Pandangan yang betul terhadap masa

Pentingya melihat masa lepas (Surah al-Imran: Ayat 136, 140 dan 146; Surah al-Hajj: Ayat 46)
Melihat masa hadapan  (Surah Luqman: Ayat 34; Surah al-Hasyar; Ayat 18)
Mengutamakan masa sekarang (Surah al-Hasyr: Ayat 18)

“Hiduplah kamu selagi mana kamu mahu hidup, sesungguhnya kamu akan mati; cintailah kamu kepada sesiapa yang kamu hendak cintai, sesungguhnya kamu akan berpisah dengan nya, beramallah kamu sesungguhnya kamu bertanggungjawan terhadap segala amalan kamu itu”  (HR Tabatan)

BAB 6: Menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada membuang masa

Al-Quran memberikan peringatan tentang akibat penyakit lalai ini sehingga boleh menyesatkan manusia sampai ketahap haiwan. (Surah al-Araf: Ayat 197) dan menerangkan bagaimana manusia hanya mementingkan kehidupan dunia sahaja tanpa melihat hakikat kehidupan sebenar (Surah al-Araf: Ayat 205; Surah ar-Rum: Ayat 6-7; Surah al-Kahfi: Ayat 28)

“Ya Allah! Janganlah Engkau biarkan kami didalam sengsara dan janganlah Engkau matikan kami dalam keadaan kami tertipu dan janganlah Engkau jadikan kami di dalam golongan orang-orang yang lalai.”  Doa Abu Bakar as-Siddiq r.a.

Keburukan menangguh-menangguhkan masa

Setiap masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Seseorang muslim itu hendaklah berusaha hari ini, demi hari esok sebelum tiba suatu hari yang tidak berguna penyesalan.

Kesan dan kemuradatan menangguhkan masa antaranya :
  1. Sesungguhnya kamu tidak dapat menjamin kehidupan hari esok-Kematian??????
  2. Sekiranya kamu dapat menjamin kehidupan hingga ke hari esok, akan tetapi kamu tidak dapat mengelak diri daipada kesulitan dan kesakitan yang bakal menimpa keatas drimimu.
  3. Sesungguhnya pada setiap hati dan masa itu mempunyai kewajipan yang perlu dilaksanakan. Tidak ada masa yang tidak mempunyai kewajipan dan pekerjaan.
  4. Sesungguhnya sikap suka menangguhkan kewajipan akan membawa seseorang menjadi kebiasaannya.

Membenci masa

Di antara sikap negatif, yang sepatutnya tidak berlaku ke atas seseorng muslim ialah mempersalahkan masa. Sesungguhnya masa tidak terlepas daripada suatu medan dan bekas yang didalamnya ialah perintah dan cubaan daripada Allah SWT.

“Jangan kamu membenci masa, sesungguhnya Allah itulah masa” (HR Muslim)

Ketika mana muslim mengalami kekalahan dalam perang Uhud, Allah berfirman dalam (Surah al-Imran Ayat 165) Al-Quran juga telah menerangkan kaedah-kaedah umum seperti dalam (Surah al-Anfal: Ayat 53)

Setiap muslim harus melihat dan merenung diri sendiri; memperbetulkan segala kesilapan dan keburukan daripada  mempersalahkan masa.

Setiap muslim haruslah memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT seperti Nabi Adam dan Hawa ketika dikeluarkan oleh Allah S.W.T dalam syurga, terus memohon keampunan daripada Allah S.W.T  (Surah al-Araf: Ayat 23);  doa Nabi Musa kepada Allah dalam (Surah Al-Araf: Ayat 15); doa orang berperang tatkala melihat rakan mereka gugur syahid (Surah al-Imran: Ayat 146-148)

Sunday 11 November 2012

BAGAIMANA MENGHAPUSKAN PERKARA YANG MEMBAZIRKAN MASA


Pembaziran masa melibatkan kerugian yang besar dari segi pembelajaran. Pembaziran masa ini boleh mengurangkan produktiviti dan boleh menimbulkan masalah. Jika ditinjau dari segi pembelajaran, gangguan dan pembaziran masa merupakan masalah yang menjejaskan pelajaran yang seterusnya mengakibatkan seseorang pelajar itu kandas dalam peperiksaan. Faktor dalaman iaitu diri sendiri dan faktor luaran atau persekitaran meletakkan seseorang dalam perangkap masa.


Faktor dalaman dapat ditangani jika anda berjaya mendisiplinkan diri sendiri supaya semua tugas dapat disesuaikan dalam masa yang ditetapkan. Faktor luaran pula dapat ditangani jika anda berjaya mendisiplinkan diri sendiri dalam melaksanakan tugas di samping memberi ruang kepada orang lain untuk membantu melindungi anda daripada sebarang tekanan.Berikut merupakan contoh keadaan atau situasi pembaziran masa yang boleh diatasi:


1. Pelawat Tidak Diundang


Pelawat yang tidak diundang boleh didefinisikan sebagai mereka yang berkunjung tanpa memberitahu terlebih dahulu dan kadangkala tidak dialu-alukan. Biasanya, pelawat muncul di pintu rumah atau di tempat anda belajar pada saat-saat yang paling kritikal contohnya ketika mengulangkaji dan membuat kertas kerja.


Kunjungan tidak dapat dielakkan tetapi hal ini tidak akan menghalang kerja-kerja anda sekiranya anda tahu mengendalikannya secara jujur dan terbuka. Sekiranya seseorang bertanya, “Ada sedikit masa untuk saya?” Jawab “Tidak” dengan jujur di mana menyatakan “Tidak” menunjukkan anda serius tentang pengurusan masa. Selain itu, anda boleh menyiapkan tugasan di perpustakaan dan sentiasa menutup pintu rumah atau bilik anda kerana orang akan lebih mudah datang berkunjung sekiranya mereka ternampak anda. Galakkan temu janji. Orang yang menemui anda akan lebih menghormati masa anda sekiranya temujanji diperlukan.


2. Gangguan Telefon dan SMS


Telefon terutamanya telefon bimbit pada masa sekarang, merupakan alat perhubungan yang sangat berguna, namun ia boleh menjadi gangguan yang serius kepada kita. Menurut beberapa kajian sosial di internet, telefon bimbit diiktiraf sebagai ‘the biggest culprit’ yang sering mengganggu konsentrasi seseorang ketika sedang bekerja, mengendalikan mesyuarat, perbincangan dengan klien, ataupun semasa sedang khusyuk mengulangkaji pelajaran. Setiap panggilan telefon atau SMS (sistem pesanan ringkas) adalah mempunyai prioriti atau kepentingan yang berbeza, dan anda mempunyai kuasa untuk menapisnya. Panggilan dan SMS penting selalunya berkaitan dengan urusan keluarga misalnya, atau orang yang anda fikir berkepentingan untuk dilayan tanpa mengganggu konsentrasi belajar. Untuk panggilan dan SMS yang anda rasa agak rendah prioritinya, bolehlah untuk anda biarkan tanpa berjawab.
Kumpulkan semua panggilan dan SMS yang kurang penting tersebut dan pilih masa yang sesuai untuk dihubungi. Sekiranya perlu, beritahu orang yang selalu menghubungi anda tentang masa yang sesuai untuk menelefon atau menghantar SMS. Telefon bimbit anda boleh diletakkan dalam mod ‘vibrate’ atau senyap, bermakna anda tidak akan diganggu semasa sedang asyik belajar.


3. Pengaruh Televisyen dan Internet


Manusia inginkan hiburan. Setelah penat bekerja memerah otak, hiburan boleh membantu meringankan bebanan fikiran. Televisyen menjadi sumber hiburan yang paling popular. Televisyen mempunyai pengaruh yang kuat dalam menarik perhatian anda. Akibat terlalu leka menonton, banyak kerja terbengkalai. Begitu jualah dengan internet, yang merupakan medan pelayaran maklumat yang bersifat infiniti. Selalu jua seseorang itu mudah menghabiskan masa berjam-jam lamanya di hadapan skrin komputer melayari laman web yang tidak berfaedah, tanpa menyedari bahawa masa yang berlalu itu bersifat tidak produktif dan sia-sia.
Untuk mengatasi masalah tersebut, anda harus menentukan secara khusus rancangan yang ingin ditonton di televisyen atau perkara yang perlu dilayari dalam internet. Ini memberi peluang kepada anda untuk mengatur perancangan kerja dengan rapi mengikut jadual yang ditetapkan. Kadang-kadang, ada di antara pelajar yang mengkhususkan satu hari yang diisytihar sebagai ‘hari berehat’ tanpa perlu mengulangkaji pelajaran dan sebagainya berkaitan akademik. Maka, inilah harinya untuk anda menatap sepuas-puasnya rancangan di televisyen ataupun melayari internet.


4. Tiada Keutamaan Kerja


Faktor utama dalam menentukan keutamaan ialah dengan menyedari kedudukan atau peranan anda ketika itu. Anda seharusnya menggariskan beberapa matlamat dalam konteks “pelajar cemerlang”. Contohnya rakan-rakan mengajak anda keluar menonton wayang. Kebetulan ada kertas kerja yang perlu disempurnakan dalam beberapa hari lagi. Oleh itu, anda haruslah bijak menentukan dan memilih sama ada hendak pergi menonton wayang atau menyiapkan kertas kerja yang merupakan prioriti utama.


Anda perlu ada keputusan yang berkait rapat dengan peranan anda sebagai pelajar. Anda mungkin berasa kecewa kerana tidak dapat menonton filem tetapi anda akan lebih kecewa jika gagal dalam kursus yang diambil kerana menidakkan kepentingan untuk menyiapkan kertas kerja tepat pada masanya.


5. Sering Memberi Alasan


Pengurusan masa memerlukan disiplin diri yang mantap. Malangnya manusia sering bersikap acuh tak acuh atau cuba berselindung dengan pelbagai alasan. Apabila alasan kerap digunakan, timbul kesan sampingan yang negatif dan akhirnya memberi tekanan kepada diri sendiri.
Bagi mengatasi sikap tersebut, anda harus menganggap kerja yang dilakukan itu satu tanggungjawab. Seandainya kerja itu diabaikan, ia akan memberi kesan psikologikal pada diri sendiri, seolah-olah tidak melaksanakan tanggungjawab anda. Pengabaian tugas atau kerja rutin akan menjadikan anda bimbang dan resah yang akhirnya memerlukan anda bertindak secara spontan dan terburu-buru.


Sekiranya anda biasa memberi alasan, anda akan leka dengannya lebih-lebih lagi jika alasan yang diberi dapat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam sesuatu situasi. Anda perlu menghapuskan sikap ini dengan segera dan menggantikannya dengan sikap yang lebih positif.


6. Menghadapi Tekanan


Tekanan yang dihadapi oleh seseorang individu boleh menyebabkan banyak kerja atau produktiviti tergendala. Walau bagaimanapun, tekanan yang terkawal boleh membantu mempertingkatkan tugas. Tekanan yang terkawal boleh dijadikan rangsangan untuk mencapai kejayaan.


Dalam keadaan yang tertekan, anda tidak dapat mengendalikan masa dengan baik. Masalah lain seperti gangguan dan ketidakseimbangan fikiran juga timbul. Ini menganggu kesihatan. Apabila kesihatan terganggu, anda tidak mampu menggunakan masa dengan baik.


Ketika menghadapi tekanan, anda harus menyedari kekuatan dan kelemahan diri supaya sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan lebih produktif. Contohnya, tugas yang memerlukan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi boleh dilaksanakan pada sebelah pagi. Tugas yang tidak banyak menggunakan daya pemikiran dan kreativiti boleh dilakukan pada sebelah petang. Perancangan tugas boleh dilakukan mengikut kemampuan dan keselesaan berdasarkan kekuatan dan kelemahan diri anda sendiri.


Anda perlu memperkukuhkan dan mengekalkan emosi yang positif seperti harga diri, kejayaan, kebahagiaan dan harapan semasa menghadapi tekanan. Ia dapat menambahkan keberkesanan berfikir. Perasaan negatif tidak harus dilayan kerana ia boleh menambahkan kekecewaan dan rasa tertekan.


Setiap kali menghadapi tekanan, manusia cenderung mengasingkan diri. Ini menambahkan kegusaran. Oleh itu, anda perlu terus menjalinkan hubungan yang sihat dan harmoni dengan orang lain. Ini menggalakkan perkongsian perasaan yang membantu mengurangkan tekanan. Anda boleh meleraikan diri daripada kerungsingan atau rasa tertekan dengan merehatkan diri sama ada melalui latihan istirahat seperti meditasi, joging, bersukan atau bercuti.

Wednesday 15 February 2012

MASA CEPAT BERLALU

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar benar dalam kerugian, kecuali orang orang yang mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
             

Berapa lamakah kita telah tinggal di dunia ini? 20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau bertahun tahun lamanya?
Apakah masa yang berlalu itu terisi dengan penuh pengisian yang sebenar benarnya atau tersia dengan segala macam sia sia?
Marilah kita melihat dari sudut yang berbeza, menilai dan meneliti setiap perbuatan kita adakah kita berada di dalam golongan yang benar benar dalam kerugian atau tergolong dalam insan yang beruntung dunia dan akhirat?
Betapa hari ini kita melihat setiap orang berkejar kejar ke sana dan ke sini dengan dua kaki, kereta, trainflight dan lain lain  untuk pelbagai urusan, setiap minit sungguh kita berkira, kita dikejar masa, makin hari makin terasa kepantasannya hingga tak terkejar.

Berhentilah sejenak,  mari kita berpaling  kebelakang mengimbau apakah setiap perbuatan kita itu ada nilainya?
  1. Berkejar-kejar untuk urusan dunia @ berkejar kejar untuk menunaikan ibadat kepada Allah swt.
  2. Ajak mengajak ke arah kemaksiatan @ ajak mengajak berbuat kebaikan




Saya juga seperti kalian semua, saya memiliki 24 jam 7 hari seminggu. Setiap masa diperuntukkan semua sama tapi bagaimana kita memanfaatkan masa supaya kita tidak menjadi bankrupt pada masa akan depan.
Berapa ramai di kalangan kita meninggalkan solat kerana pelbagai alasan yang tidak munasabah ;
  • Tiada masa kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas
  • Tiada masa kerana meeting berjam jam dari pagi hingga ke malam
  • Tiada masa ke surau kerana suraunya jauh
  • Tiada masa kerana perlu banyak berehat ketika sakit
  • Tiada masa kerana mengejar assignment deadline
  • Tiada masa kerana sibuk mengelolakan majlis penting disertai VVIP
  • Dan banyak banyak lagi alasan yang kita reka sesedap hati.
Adakah alasan-alasan ini yang akan kita jawab di akhirat kelak?
Tiada masa…?
Solat 5 kali sehari x10 minit = 50 minit setiap hari. Adakah masa 24 jam sehari itu tidak mencukupi untuk kita meluangkan masa 50 minit sehari untuk mengerjakan solat fardu?
Hanya 3.5% sehari kita peruntukkan untuk bersolat?
Kawan-kawan,
  • Kita ada masa untuk membeli belah di shopping complex berjam jam lamanya
  • Kita ada masa menonton rancangan kegemaran di Astro
  • Kita ada masa untuk melepak dan bersembang dengan kawan kawan di kedai kopi
  • Kita ada masa buat itu dan ini
  • Tapi sayang sekali… kita boleh kata tiada masa untuk bersolat!?




Oh alangkah ruginya hidup kita, terisi tapi hanya sia sia kerana melupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah di muka bumi.
Pernahkah kita fikir, bagaimana nanti kita benar benar sudah tiada masa? Waktu nyawa sudah di kerongkong? Ketika lembaran langit sudah digulung-gulung menutup tirainya?
Pada tika itu, ketahuilah… Segunung emas dan permata sekalipun tidak mampu membeli masa yang telah berlalu.
Bak kata Imam al Ghazali ;
“Sesuatu yang paling jauh itu adalah masa yang telah berlalu, sungguh ia tak mungkin kembali. ”



Dalam keadaan dunia serba maju semuanya mahu cepat, kita pula diberatkan dengan pelbagai bentuk tanggungjawab yang kadangkala menghimpit ruang masa kita.
Kawan kawan…
Walau betapa banyaknya tanggungjawab kita, tanggungjawab kita sebagai hamba kepada Allah swt mesti diutamakan! Insyallah dipermudahkan urusan kita di dunia dan akhirat.
Janganlah kita hidup seperti sebuah robot, siang dan malamnya sama sahaja, hidup dan matinya hanya untuk berbakti kepada manusia dan hayatnya pula hanya didunia seketika cuma.
Kawan kawan, marilah kita renungi bersama,
Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi ayat 103-106 yang bermaksud:
Katakanlah “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik baiknya. Mereka itu orang orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan(kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuskanlah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak akan mengadakan satu penilaian bagi (amalan)mereka pada hari kiamat. Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan kekafiran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayatKu dan rasul rasulKu sebagai olok-olok.
20 tahun, 30 tahun, 40 tahun atau bertahun tahun lamanya, status amalan kita masih KIV (Keep In View) hingga ke titik terakhir.

Kawan kawan…
Berapa lama lagikah masa kita masih berbaki di dunia? Ternyata tiada seorang pun di kalangan kita mengetahuinya. Hanya Allah SWT jua yang Maha Mengetahui.
Yang pasti setiap hari yang berlalu mendekatkan kita pada hari yang nyata iaitu kematian.
Sekarang, ketika ini dan di saat ini , kita masih ada masa untuk memperbaiki amalan kita. Usah disiakan masa yang ada, pergunakan dengan sebaik-baiknya, rancanglah masa dari sekarang, laksanakan dengan amalan, persiapankan diri untuk masa depan.
Semoga kejayaan menanti kita di hadapan sana.