Ungkapan `masa Melayu' telah menjadi bahan sindiran apabila berlaku kelewatan dalam sesuatu majlis, mesyuarat, perjumpaan dan sebagainya dalam masyarakat kita. Masyarakat Melayu Islam seolah-olah dikatakan mempunyai tabiat suka membuang dan membazirkan masa.
Ini mungkin ada kebenarannya bila dilihat kepada gelagat segelintir anak-anak muda umpamanya yang begitu berdisiplin semasa di sekolah, tetapi bila di luar sekolah mereka menghabiskan masa yang banyak di hadapan kaca televisyen dan merayau-rayau tanpa arah dan tujuan. Golongan remaja kini terkenal dengan `budaya lepak' di pusat-pusat membeli belah dan budaya suka berhibur dengan hiburan murahan. Segelintir golongan tua pula masih mengekalkan tabiat lama berbual-bual kosong dan bermain catur di kedai-kedai kopi dan berbagai-bagai lagi.
Kepincangan yang semakin ketara ini patutlah diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya dalam usaha kerajaan meningkatkan imej negara dan menanamkan nilai-nilai positif kepada masyarakat. Justeru itu, masa perlu dimanfaatkan kerana ia merupakan asas dalam segala pergerakan hidup manusia dan pembangunan negara. Kejayaan sesebuah negara banyak bergantung sejauh mana masyarakatnya dapat menghargai masa.
Islam meletakkan masa itu di tempat yang tinggi sehingga Allah s.w.t. bersumpah dengan masa. FirmanNya yang bermaksud :
"Demi masa (`asar) sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang saling wasiat mewasiatkan dalam perkara benar dan (memerlukan) sabar" [Surah al-`Ashr (103)]
Ayat al Quran ini merupakan `perlembagaan' hidup orang-orang Islam. Di samping ayat ini Allah s.w.t juga bersumpah dengan nama-nama hari, waktu malam, siang, bulan bintang dan sebagainya bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dan kesan peredaran masa.
Pepatah `masa itu emas' menunjukkan bahawa masa itu adalah usia. Cendekiawan Islam menyifatkan masa itu sebagai sesuatu yang hidup. Kehidupan tidak akan membawa erti melainkan masa digunakan untuk beramal semenjak dari lahir hinggalah ke saat yang terakhir. Al Hassan Al Basri pernah juga berkata, Wahai anak Adam! Sesungguhnya kau hidup hanya beberapa hari. Setiap hari yang berlalu pergi, hilanglah separuh dari umurmu!.
Setiap individu Muslim sewajarnya menyediakan perancangan masa harian sama ada ia berhubung dengan keduniaan ataupun akhirat. Rasulullah s.a.w. membahagikan masanya kepada empat yakni,
pertama; waktu untuk Baginda bermunajat (berzikir) kepada Allah s.w.t.,
kedua; waktu untuk Baginda bermuhasabah (menilai dan mengkaji diri),
ketiga; waktu untuk Baginda berfikir tentang makhluk ciptaan Allah dan
keempat; waktu untuk Baginda menumpukan kepada keperluannya, seperti mencari rezeki.
Walau bagaimanapun, pendekatan masa dalam Islam tidaklah begitu rigid. Masa juga perlu diperuntukan untuk bersuka-suka, menghiburkan jiwa dengan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan oleh syarak. Sayyidina Ali r.a. ada berkata :
"Berilah kerehatan kepada hati beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati jika dipaksa dia akan menjadi buta!"
Umat Islam yang menumpukan masanya seharian sehingga kelihatan letih lesu adalah dilarang sekalipun membuat kerja-kerja ibadah seperti berpuasa tanpa berbuka, berjaga sepanjang malam untuk beribadat dan sebagainya. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. pernah menasihati para sahabat yang terlalu asyik mengerjakan sembahyang sunat di belakangnya di waktu malam :
"Ambillah amal ibadat sekadar kemampuan kamu. Maka sesungguhnya Allah tidak akan jemu hingga pun kamu merasai jemu. Dan sesungguhnya amal ibadat yang paling Allah sukai ialah amal ibadat yang berterusan, biarpun amal itu sedikit."
Generasi para sahabat sentiasa bekerja demi mempertingkatkan lagi prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Bagi mereka hari ini lebih baik dari semalam, hari besok mestilah lebih baik dari hari ini.
Kemajuan yang telah dicapai oleh negara-negara maju dan kuasa-kuasa besar sepatutnya menjadi panduan kepada kita tentang bagaimana mereka memonopoli setiap detik masa sehingga berjaya menghasilkan teknologi yang canggih sama ada di angkasa, lautan mahupun daratan. Sedangkan kita terus leka dengan pergerakan masa.
Generasi pendokong Wawasan 2020 perlu sedar akan hakikat ini. Adalah menjadi tugas setiap individu Muslim menjaga masanya supaya dapat dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah berkata :
"Sesungguhnya pertukaran malam dan siang yadalah untuk kamu. Oleh itu, bekerjalah di waktu malam dan siang"
Perbuatan membuang masa dengan perkara-perkara yang sia-sia atau menyalahi ajaran Allah amatlah dikutuk oleh Allah s.w.t. iaitu seperti membuat maksiat sehingga melupakan perintah Allah s.w.t. Golongan ini menurut Rasulullah s.a.w. akan di soal di hadapan Allah di akhirat. Baginda sering menegur sikap para sahabat yang bersembang dan berbual-bual kosong di tepi jalan. Pepatah Arab ada mengatakan masa itu sebagai sebilah pedang, jika kamu tidak menggunakannya, maka ia akan menjadi senjata makan tuan.
Kalau kita merujuk kepada sejarah peradaban Melayu Islam, isu penjagaan masa sebenarnya telah lama bertapak di kalangan masyarakat Melayu Islam di negara kita. Sejak dari kecil lagi masyarakat kita telah dilatih untuk menjaga masa melalui launagan azan lima kali sehari bermula dari sebelum menyinsingnya fajar hinggalah fajar tenggelam di ufuk timur. Laungan azan sebanyak lima kali sehari menandakan telah masuk waktu solat telah menjadi amalan masyarakat kita. Di seluruh negara, kita menyahutnya dengan mengerjakan solat secara beramai-ramai (berjamaah). Ini menunjukkan masyarakat Melayu Islam telah lama dididik untuk menghargai masa. Pada setiap hari Jumaat semua lelaki Islam akan berkumpul di masjid-masjid meninggalkan kerja-kerja seharian kerana menyahut seruan masa untuk berjumaat.
Satu contoh lain yang ketara ialah dalam ibadat puasa. Dalam masa sebulan di bulan ramadhan, setiap orang Islam termasuk kanak-kanak mengetahui benar pentingnya masa untuk dipatuhi bermula dari sebelum terbitnya fajar sehinggalah fajar terbenam. Setiap keluarga Islam tidak akan berbuka sehinggalah laungan azan maghrib dibunyikan. Mereka juga dilatih bangun bersahur selama sebulan dalam waktu-waktu yang dibenarkan semata-mata kerana Islam sangat menghargai masa. Banyak lagi contoh-contoh lain yang saya kira tidak dapat dibincangkan dalam artikel ringkas ini.
Akhirnya, adalah diharapkan agar perbincangan mengenai masa di atas dapat diambil kira. Semoga dengan lahirnya masyarakat yang dapat memaksima penggunaan masa untuk urusan seharian dan juga untuk akhirat, matlamat negara maju yang menjadi harapan Y.A.B. Perdana Menteri dalam Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan. Semuanya memerlukan kepada kesedaran dan usaha yang gigih.
No comments:
Post a Comment