Sunday, 24 April 2011

Maksiat pembazir masa efektif

Orang yang bijak sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dan menyingkirkan sifat-sifat yang tidak baik di dalam dirinya. Al-Qur’an dan Sunnah dijadikan panduan oleh orang Islam dalam menentukan sesuatu perbuatan atau lisan itu baik dan tidak. Allah ada menyatakan di dalam surah al-Mukminun ayat 3 yang bermaksud, “(Di antara sifat orang mukmin yang berjaya) adalah mereka berpaling dari melakukan perbuatan yang sia-sia.
Dr. Danial Zainal Abidin melalui bukunya, Tip-tip Cemerlang daripada Quran menyatakan, bahawa di dalam Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Perkara yang sia-sia) mengikut pandangan sesetengah ulama ialah perkara yang batil termasuk perbuatan yang berunsurkan syirik. Sebahagian yang lain berpendapat ia adalah perkara-perkara maksiat dan segala perbuatan yang tidak mendatangkan faedah sama ada yang berkaitan dengan percakapan atau tingkah-laku.”

Seorang Muslim yang baik sentiasa berada dalam keadaan yang sedar akan setiap perkara yang dilakukannya, samaada ia mendatangkan kebaikan ataupun keburukan. Imam Tirmizi dan Ibn Majah menceritakan kata-kata nabi yang bermaksud, “Antara tanda kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.”
Melakukan maksiat menggelapkan hati dan sekiranya dilakukan secara berterusan, amat sukar untuk ditinggalkan. Namun begitu, niat yang teguh, usaha dan doa yang berterusan mampu menguatkan seseorang untuk meninggalkan maksiat yang telah lama diamalkan.
Riwayat menceritakan Imam Syafi’i mengadu sukar menghafal ilmu. Maka gurunya, Imam Waki’ menasihati beliau untul meninggalkan kemaksiatan kerana katanya, “Ilmu itu adalah cahaya Allah. Dan cahaya Allah tidak akan menyinari hati orang yang berbuat maksiat”. Setelah meninggalkan maksiat, tingkat kefahaman dan hafalan Imam Shafi’i terpancar secara luar biasa. Beliau dapat mengingati hampir keseluruhan huruf pada buku yang dibaca atau seluruh perkataan pada ceramah yang didengarinya.
Jauhkan diri dari maksiat untuk mendapat ketenangan hati dan kemudahan mendapat ilmu.

No comments:

Post a Comment