Saturday, 9 March 2013

Peringatan Buat Orang Yang Rugi


Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Asr,
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan, orang yang beriman, dan beramal soleh. Dan (mereka yang) mengajak ke arah kebenaran dan mengajak dengan sabar."


Dalam surah ini, Allah menekankan betapa pentingnya masa. Masa yang dimaksudkan ialah, kehidupan kita. Iaitu masa yang diberikan oleh Allah di sepanjang perjalanan hidup kita di dunia.
Pada awal surah ini Allah menekankan, manusia itu (semuanya) dalam keadaankerugian. Tidak kira siapapun, selagi dia bergelar manusia, dia berada dalam kerugian. Namun, Allah tidak berhenti setakat itu. Allah menjelaskan lagi, apakah ciri-ciri yang boleh mengelakkan diri daripada tergolong dalam golongan yang rugi.
Sebelum itu, golongan yang rugi ini adalah golongan yang di dunia merana, di akhirat sengsara. Inilah yang dikatakan rugi. Walaupun di dunia, dia merasa bahagia, walhal dalam keadaan tidak sedar (tanpa mencari kebenaran) dia sebenarnya dalam kerugian.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 103 & 104,
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal-amal perbuatannya?'(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan'."
Inilah orang yang rugi. Dia merasa dirinya berada dalam kebenaran dan kebaikan. Walhal, selagi dia tidak mendapat kepastian dengan mempelajari Islam, selagi itulah dia rugi. pengakhiran bagi orang yang rugi, tidak lain dan tidak bukan adalah kesengsaraan di dunia dan neraka Allah yang amat azab. Na'uzubillah min zalik.
Ciri-Ciri Orang Yang Beruntung
Untuk mengelakkan hamba-Nya dalam kerugian, Allah Maha Pemurah telah memberikan ciri-ciri orang yang beruntung. Allah telah memberi kita dua jalan dalam menyelusuri alam ini. Iaitu Iman dan Kufur, kita boleh memilih mana-mana jalan yang kita sukai. Kitalah yang membuat pilihan apakah pengakhiran kita nanti berdasarkan jalan yang kita lalui.
01.Beriman. Dalam surah al-Asr, Allah mengatakan bahawa, semua manusia ialah orang yang rugi. Namun, Allah mengasingkan orang-orang yang beriman daripada sekalian manusia tadi. Selain daripada orang yang beriman, secara pasti mereka inilah orang yang rugi. Allah kecilkan skop pandangan kepada orang yang beriman. Namun, tidak cukup sekadar itu, Allah kecilkan skop kepada ciri yang kedua.
02.Beramal soleh. Daripada kalangan orang yang beriman tadi, Allah mengasingkan lagi kepada golongan beriman dan beramal soleh. Adapun, yang tidak beramal soleh, mereka ini juga termasuk dalam golongan yang rugi walaupun mereka beriman. Dengan Iman sahaja tidak mencukupi untuk memenangi Syurga Allah yang lebih bernilai daripada segalanya di dunia ini.
Amal soleh ini juga perlu difahami secara jelas. Ramai yang beranggapan cukup sekadar solat, puasa, zakat, haji. Noktah. Inilah pengakhiran amal soleh bagi kebanyakan orang sekarang. Baik.. mari kita kaji, cukupkah empat (4) perkara tadi pelengkap sebagai orang yang beramal soleh?
Dalam kehidupan seharian, kita punyai 24 jam. Masa yang kita peruntukkan untuk solat beserta zikir dan doa, kira-kira 20 min setiap solat fardhu.
Keseluruhannya,
[20 min] X [5 solat] = 100 min = 1 jam 40 min.
Kemudian, ditambah dengan solat-solat sunat, zikir-zikir dan qiamulllail, kita andaikan dua (2) jam dalam sehari.
Dalam sehari,  
[100 min solat fardhu] + [2 jam amalan-amalan sunat] = 3 jam 40 min.
Baik, bila dikira, berapa peratuskah amalan soleh kita dalam sehari?
[3 jam 40 min] / [24 jam] X 100% = 15.3%
Persoalannya, adakah ini dikatakan amal soleh? Adakah cukup dengan 15.3% dari kehidupan kita yang dikatakan amal soleh ini menjamin Syurga di akhirat kelak?  
Tidak wahai saudaraku. Praktikal kita selama ini amat bertentangan dengan suruhan Allah'azza wa jalla. Islam mengajar penganutnya untuk mengamalkan secara keseluruhan ajarannya dan kita tidak boleh mengambil separuh-separuh atau sebahagian daripada ajaran yang kita sukai sahaja.
Sudah pasti, keselurahan itu ialah 100%. Namun, dengan pengamalan kita selama ini, mana hilangnya 84.7% lagi daripada kehidupan kita? Adakah kita menyangka kita benar dan baik?
Berbalik kepada ayat 103, surah al-Kahfi, Allah kata mereka yang menyangka begini sebenarnya dalam kerugian. Balasan bagi orang yang rugi firman Allah,
"(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan." [al-Kahfi: 106]
Oleh itu, sebenarnya, Allah menyuruh hamba-hamba-Nya mengamalkan Islam secara 'total', 100%. Ini adalah semata-mata agar umat Islam bahagia dunia dan akhirat.
84.7% dari kehidupan kita tadi juga ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan panduan al-Quran. Solat, puasa dan lain-lain sahaja tidak cukup untuk dikatakan sebagai orang yang beramal soleh. Untuk menjadi orang yang beramal soleh, 100%, seluruh kehidupan diatur dengan Islam.
Sebagai contoh, aurat. Aurat lelaki amat mudah, namun ada juga yang payah untuk patuh. Aurat wanita berbeza, amat unik kerana wanita ini amat mulia di sisi Islam.
Mereka dibaluti jubah bukan kerana fesyen tetapi kerana bernilainya susuk tubuh meraka. Bernilainya harga diri mereka. Mereka hanya untuk kerabat mereka sahaja. Mereka hanya selayaknya dilihat oleh suami mereka sahaja. Keindahan mereka tidak boleh dipertontonkan pada umum.
Berbalik kepada beramal soleh tadi. Sewajibnya, seluruh kehidupan kita diatur dengan Islam. Daripada sekecil-kecil perkara seperti masuk ke tandas, hingga ke sebesar-besar perkara seperti pemerintahan negara.
Nabi S.A.W telah menunjukkan caranya mengikut Islam. Contoh yang lain, apabila kita berjual beli, hendaklah tiada unsur riba. Apabila bergaul dengan masyarakat, perlu ada batas lelaki dan wanita. Apabila kita bekerja, perlulah yang halal.
Apabila kita berjuang untuk Islam, sebenarnya kita berjuang untuk mendapatkan Syurga. Inilah jual beli kita dengan Allah. Begitu juga dengan sistem kehakiman, pendidikan, pemerintahan dan lain-lain. Semuanya wajib diatur dengan Islam, barulah dikatakan beramal soleh.
Di sini kita lihat, indah apabila semuanya diatur dengan Islam. Sejak mata dibuka di awal pagi, sehingga kita menutup mata kembali, semuanya diatur dengan Islam. Inilah golongan yang Allah golongkan sebagai orang yang beramal soleh. Namun, tidak cukup sekadar itu, Allah kecilkan lagi skop pandangan orang yang beruntung.
03.Mengajak ke arah kebenaran. Apa itu kebenaran? Yang hakiki, pasti 100% ISLAMsahajalah yang benar. Islamlah satu-satunya kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu, orang-orang yang tidak mengajak ke arah kebenaran walaupun mereka beriman dan beramal soleh tetap dikira rugi. Mungkin ramai yang menyedari kita perlu bersama-sama mengajak ke arah kebaikan. Namun, tidak semua yang berjaya memilih jalan yang betul. Ya, banyak kumpulan-kumpulan yang mengajak membuat kebaikan, tetapi, dalam yang banyak itu, yang manakah menuruti jalan Islam dengan benar? Mana satukah menuruti jalan Nabi S.A.W dengan benar?
Oleh itu, kita perlu bijak mengkaji dan memilih, kumpulan yang manakah yang boleh kita ikuti.
04.Mengajak dengan sabar. Ciri keempat inilah pelengkap. Orang-rang yang beriman, beramal soleh, ajak ke arah kebaikan dan dengan sabar, mereka inilah orang yang terkecuali daripada golongan yang rugi.
Inilah tafsiran surah al-Asr, surah yang amat singkat. Tafsiran yang masih banyak lagi lopongnya. Erti kata lain, ilmu Islam ini amat luas, sehinggakan tidak habis untuk kita pelajari. Saya mengajak diri saya sendiri, dan juga semua untuk sama-sama kita menghitung balik diri kita. Persoalkanlah dalam diri kita, apakah kita sudah beriman? Apakah kita sudah beramal soleh? Apakah kita sudah mengajak ke arah kebaikan dengan sabar?
Tanyalah diri kita. Tanyalah sebelum Mungkar dan Nakir yang amat kasar bertanya kepada kita. Tanyalah diri kita sebelum pintu rahmat Allah tertutup. Sayangilah keluarga kita. Kita pasti mahukan semua keluarga kita bersama-sama di Syurga.
Inilah kebahagian sebuah keluarga yang hakiki. Bertanya, Kemudian bertindak dengan cara apa jua. Ayuh bersama-sama menerapkan 100% Islam dalam kehidupan kita. Maksiat yang kita lakukan selama ini, sama-sama bertaubat. Larangan yang kita langgar selama ini, ayuh kita hentikan. Suruhan yang kita abaikan selama ini, ayuh kita laksanakan.
Sungguh benar kata Allah, Allah kurniakan dua jalan. Kita manusia berkuasa penuh memilih, jalan Iman mahupun ingkar. Tiada yang pertengahan. Tiada juga yang diistilahkan sederhana(moderate). Ketahuilah, Islam itu lengkap 100% tidak boleh dibahagi-bahagikan lagi.
Moga perkongsian ini dapat dimanfaatkan dan dikongsikan kepada insan-insan yang kita sayangi dengan harapan, kita semua berjumpa di satu tempat yang sama, Syurga.
Wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment