Wednesday, 11 September 2013

MASA ITU NYAWA!

Antara bekalan yang diberikan oleh Allah kepada manusia ialah nyawa. Dengan nyawa kita hidup dan dengan hidup itu kita diberi peluang untuk melaksanakan misi hidup kita. Justeru, kita perlu bersyukur jika masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Nyawa (hidup) ini sangat berharga. Nyawa ini adalah “modal” untuk meraih keuntungan di dunia dan di akhirat. 
Oleh sebab itu nyawa termasuk dalam 4 perkara yang diletakkan dalam kategori dharuriyat bersama-sama dengan agama, keturunan dan harta. Selepas kita bangun daripada tidur, kita disunatkan berdoa dengan doa ini:
“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”
Doa ini secara langsung mengingatkan kita tentang nikmat hidup. Tanpa nikmat hidup, kita tidak berpeluang untuk membuat kebaikan, meraih pahala dan seterusnya mendapat syurga. Prof Dr. Yusuf Al Qardhawi pernah menulis:
“Setiap inci tanah di muka bumi ini adalah tempat yang paling subur untuk menanam benih syurga.”

Ingatlah, hidup di dunia ini sangat penting kerana adanya hari Akhirat. Kebaikan di akhirat tidak akan dapat diraih tanpa kehidupan di dunia. Justeru, di dalam Islam kita dilarang “meminta’ mati apatah lagi membunuh diri. Rasulullah SAW bersabda:
“janganlah seseorang kamu mengharapkan kematian. Kalau dia seorang berbuat kebaikan, mudah-mudahan bertambah kebaikannya, dan kalau dia orang berbuat salah, mudah-mudahan dia bertaubat.” (Riwayat Bukhari).
MENGHARGAI MASA
Apakah tanda kita menghargai nyawa? Jawabnya mudah, kita mesti menghargai masa! Masa hakikatnya adalah nyawa kita. Membazirkan masa atau menggunakan masa tidak selaras mengikut tujuan ia dikurniakan hakikatnya “membuang” nyawa sendiri. Lihat betapa Allah sangat mengutamakan masa walaupun Allah sendiri tidak terikat dengan masa. Masa itu ciptaan Allah dan sekali-kali ia tidak memberi kesan ke atas-Nya.
Walau bagaimanapun dalam mendidik manusia, Allah sangat mengutamakan masa. Buktinya, Allah telah berkali-kali bersumpah dengan masa (Surah Al Asr) dan juga kejadian-kejadian yang ada kaitannya dengan masa seperti bulan, matahari, siang, malam, waktu subuh dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa Allah sangat pentingkan masa.
Begitu juga diterangkan Allah suka para hamba-Nya mendirikan solat pada waktu 2/3 malam (dinihari). Ini menunjukkan bahawa di sisi Allah ada waktu-waktu yang tertentu yang lebih disukai-Nya. Ada juga diberitakan dari hadis-hadis bahawa ada masa-masa tertentu yang mana doa lebih dimakbulkan oleh Allah berbanding masa-masa yang lain. Semua ini menunjukkan betapa Allah sangat “prihatin” dengan masa.
ISLAM DAN MASA
Al hasil, dalam ajaran Islam, ibadat-ibadat kerap dikaitkan dengan masa. Umpamanya, sembahyang ada lima waktu, puasa wajib hanya setelah muncul anak bulan Ramadhan. Begitu juga dengan Hari Raya, ibadat haji dan sebagainya – semuanya ada waktu-waktu yang telah ditentukan. Untuk menentukan waktu-waktu ini, secara tidak langsung Allah memerintahkan kita sentiasa memerhatikan perjalanan bulan dan matahari sekali gus agar umat Islam akan sentiasa peka dan mementingkan masa.
Selain itu dengan selalu melihat perjalanan masa (bulan, matahari, siang, malam) akan tersingkaplah rahsia kebesaran Allah sebagai Pengkarya yang paling agung dan sempurna. Bertitik-tolak sikap inilah berkembangnya pelbagai disiplin ilmu berasaskan pengamatan terhadap masa. Antaranya, ilmu sains dan matematik. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam menjadi “imam” dalam ilmu sains dan teknologi satu ketika dulu. Ironinya, kini kita ketinggalan. Ya, mungkin akibat tidak “mementingkan” perjalanan masa seperti umat terdahulu!
BAGAIMANA MENGHARGAI MASA = NYAWA?
Ramai orang mengalami masalah bagaimana mendisiplinkan masa. Tetapi hakikatnya jika kita mengamalkan ajaran Islam secara total, maka masa seseorang akan terurus secara automatik. Misalnya, waktu sembahyang. Jika dijaga dengan baik, hidup akan terdisiplin dengan sendirinya. Begitu juga dengan pengurusan masa. Bayangkan, jika seseorang bersembahyang lima kali dalam sehari, maka dengan sendirinya dia akan sentiasa mengawasi masa. Mana mungkin orang yang benar-benar menjaga solat 5 waktu, terlalai dalam hidupnya?
Kehidupan terlalu singkat untuk dosa dan perkara sia-sia. Seperti yang ditegaskan sebelumnya bahawa Allah ciptakan manusia untuk beribadah. Hidup yang sementara dan singkat ini hanyalah satu persediaan untuk satu kehidupan yang abadi. Jika dinisbahkan tempoh hidup di dunia (katalah 63 tahun) berbanding hidup di akhirat (yang infiniti)… nisbah 1: 1,000 000 pun belum memadai. Kalau diibaratkan berniaga, modalnya cuma seringgit tetapi potensi mendapat untungnya berlipat ganda hingga sejuta ringgit apakah kita akan abaikan atau sia-siakan yang seringgit itu? Pasti tidak, kita akan gunakan sebaik-baiknya.
BAGAIMANA MENILAI MASA?
Menyedari hidup terlalu singkat tetapi sangat berharga inilah maka Islam bukan sahaja melarang kita melakukan perkara-perkara dosa, malah perkara yang sia-sia. Bahkan, jika seluruh masa dalam hidup ini dihabiskan dalam ketaatan pun, manusia masih tidak mampu membalas seluruh kebaikan Tuhan. Apatah lagi, kalau banyak masa yang buang sia-sia. Mereka yang mensia-siakan masa adalah orang yang “bankrap “dalam “perniagaannya” dengan Tuhan. Benarlah kata Sayidina Ali:
“Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, ia yang akan memancung kamu.”
Anehnya, masa tidak diukur melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus dan untuk apa ia digunakan. Imam Nawawi RH misalnya, ulama yang tidak panjang usianya tetapi begitu besar jasanya. Malah, hingga kini kitab-kitab yang ditulisnya dinilai “sangat luar biasa” bukan sahaja dari segi kerelevanan dan ke signifikannya tetapi juga tempoh masa untuk menghasilkannya berbanding usianya yang relatif singkat!
Lihat juga masa pemerintahan Umar Ibn aziz RA yang begitu pendek (hanya sekitar dua tahun) berbanding masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah yang lain tetapi terus dikenang sebagai pemerintahan yang sangat mirip dengan Khulafaur Rasyidin. Bukan kerana kuantiti masa pemerintahannya tetapi kerana kualiti kepimpinannya – Umar Ibn Aziz mengatasi kredibiliti khalifah-khalifah yang lain.
Lihat pula bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat yang begitu “mencemburui” tempoh masa berjihad dan beribadat oleh seorang mujahid silam Bani Israel bernama Samun Al Ghazi menerusi turunnya surah Al Qadar yang menunjukkan betapa kualiti ibadah malam itu (oleh umat nabi Muhammad SAW) melebih 1000 malam.
Kuantiti masa tidak boleh “dipanjangkan” tetapi kualitinya boleh dipertingkatkan. Justeru dalam Islam banyak hadis yang menjelaskan tentang fadilat sesuatu amalan yang digandakan melebihi tempoh masa dan tenaga yang digunakan. Misalnya, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa sesiapa yang bersolat jemaah Isyak dan Subuh, maka dia seolah-olah telah beribadah sepanjang malam. Juga bagi orang yang berfikir sesaat hingga terasa kebesaran Allah lebih baik daripada beribadah selama setahun!

ANCAMAN MASA
Namun, ganjaran selalu datang beriringan dengan ancaman. Bagi mereka yang bertangguh-tangguh, ada hadis “mengancam”. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda:
” Barang siapa yang telah mencapai umur 40 tahun tetapi kejahatannya masih mengatasi kebaikannya maka bersiap-siaplah masuk ke neraka.”
Hadis tersebut bukan bererti “menutup pintu taubat sebelum masanya”, tetapi hanyalah ancaman buat mereka yang tidak menghargai nyawa (masa).
Seseorang ‘Asi (pendosa) yang telah melangkaui usia 40 tahun, dikira sudah liat dan keras untuk membuat “pusingan U” dalam hidupnya. Nafsunya telah begitu buas untuk dijinakkan walaupun mungkin sudah kehilangan tenaga untuk melakukan kejahatan. Jadi, berhati-hati sebaik mencapai usia akil baligh (sekitar 15 tahun bagi lelaki dan lebih awal daripada itu bagi seorang wanita), wisel “perlumbaan” menuju Tuhan telah pun ditiup. Larian menuju Allah telah pun dimulakan.
Pukul rata umat nabi Muhammad SAW ialah sekitar 63 tahun (mengikut satu hadis). Justeru, bolehlah dikatakan umur 40 tahun ialah tempoh seorang mencapai tahap “kelelahan” dalam perlumbaan itu. Sedangkan menurut psikologi Barat, ‘hidup bermula pada umur 40 tahun – Life begin at forty.”
Jadi kita di mana? Apakah kita rasa umur 40 tahun itu telah “di hujung” atau masih baru bermula? Ramai juga yang terpengaruh dengan fahaman Barat hingga tergamak mengatakan, masa muda tidak mengapa “terbuat” jahat, nanti tua baru bertaubat? Pada hal menurut Imam Ghazali, kejahatan itu tumbuh dalam diri manusia umpama akar sepohon kayu,yang semakin lama dibiarkan semakin kukuh ia mencengkam. Kalau hendak “mencabut” kejahatan daripada seseorang, cabutlah pada usia mudanya kerana bila sudah tua akar kejahatan itu sudah mencengkam dan sukar untuk diungkai!
Di padang Mahsyar nanti, antara satu soalan daripada empat soalan yang Allah akan tanya ialah, “ke mana umur muda mu dihabiskan?”. Tuhan tidak bertanyakan umur tua. Ini menunjukkan betapa bernilainya masa muda berbanding tua. Sehubungan dengan itu Nabi Muhammad SAW juga telah mengingatkan dalam sebuah hadisnya:
“Pergunakanlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat, sebelum sakit. Masa muda sebelum tua. Masa lapang sebelum sibuk. Masa kaya sebelum miskin. Masa hidup sebelum mati. “
Jika kita benar-benar sedar hakikat ini, seharusnya, tidak timbul soal bertangguh, membuang masa dan membazir waktu dalam kehidupan.
TUJUAN HIDUP ASAS PENGURUSAN MASA
Menguruskan masa dengan baik, bermula dengan penetapan tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita? Ini adalah persoalan asas yang mesti diselesaikan sebelum menguruskan masa. Ya, seperti yang ditegaskan pada awal-awal lagi, tujuan hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifah. Untuk mencapai tujuan ini seluruh aktiviti kita hendaklah sentiasa tertakluk kepada hukum Allah.
Tegasnya, kita akan buat perkara yang wajib, halal, harus dan sunat. Manakala yang haram dan makruh kita akan tinggalkan. Begitu juga dengan perkara yang sia-sia atau “lagha”, juga kita tinggalkan. Oleh itu, jika hidup diatur mengikut syariat, maka secara automatik masa kita akan dihabiskan untuk membuat perkara yang baik, benar dan betul yakni yang halal, harus dan sunat.
Malah kita juga dituntut untuk memilih antara dua perkara yang boleh dilakukan mana yang lebih utama? Misalnya, bila bertembung antara mengerjakan umrah dengan membantu orang yang susah, maka lebih utama kita dahulukan membantu orang yang susah.
MENYUSUN HIDUP
Sebenarnya jika kita melaksanakan hukum-hakam Islam, maka secara automatik masa akan terurus dengan baik. Ini kerana kebanyakan hukum-hakam Islam sangat mementingkan ketepatan dan pengamatan terhadap masa. Contohnya, solat lima waktu. Ia punya waktu-waktunya tersendiri. Jika kita hendak solat Subuh misalnya, maka kita akan bangun awal dari tidur. Kita tidak akan tidur berlebihan hingga bangun lewat. Untuk bangun tidur awal tentulah kita tidak akan berjaga hingga larut malam.
Begitu juga dengan zakat, puasa dan haji semuanya mempunyai had masa bagi pelaksanaannya. Tegasnya, apabila seseorang itu menjaga solat, puasa, zakat dan hajinya maka seluruh persoalan hidupnya akan terurus dengan baik. Atau dengan kata-kata yang lain, dia telah menguruskan nyawanya dengan cekap dan berkesan!

Tuesday, 14 May 2013

Kepentingan Masa Bagi Individu Muslim







Islam amat menitik berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya amat behargaOleh itu sudah cukupuntuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam.
 
Sepertimana firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang selalu kita baca dan dengar : “Demi masasesungguhnya manusia itubenar-benar dalam kerugiankecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihatisupaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menatapi kesabaran”.-surah Al`Asr:1-3
 
Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa, dan Allah memberitahu kepada  kita semua bahwasanya manusia benar-benar dalam kerugian tetapi dengan beberapa syarat yang Allah tetapkan seperti ayat di atas. Ini menunjukkan kepada kita bahawa masa menjadi saksi terhadap Berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya manusia.
 
Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkan masanya di dunia untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.
 
Rasulullah S.A.W berpesan  kepada kita supaya memanfaatkan masa sebaik mungkin dengan sabda Baginda S.A.W.  yang mahsyur, “Manfaatkanlahlima masa sebelum dating lima masa ; Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu. Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu.  Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu. Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu, masa kaya kamu sebelum datangya masa kamu ditimpa miskin.
 
Memandangkan bahawa masa amat penting dalam Islam, maka seseorang Muslim hendaklah memberi perhatian bersungguh-sungguh terhadap masa dan menggunakannya semaksima mungkin untuk mencapai cita-cita dan matlamat kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
 
Antara faktor-faktor kegagalan kita menggunakan masa dengan sebaiknya ialah, yang pertama kita sendiri tidak jelas dengan matlamat kehidupan kita di atas dunia ini dan kenapakah Allah menjadikan kita di dunia ini, di samping tabiat-tabiat buruk seperti sikap malas, sambil lewa, tidak bersistem, sukakan kerehatan, leka, suka bertangguh membuang waktu dan sebagainya.
 
Semua tabiat-tabiat buruk di atas tidak dapat tidak mesti dihadapi oleh kita dengan bermujahadah terhadap diri sendiri. Orang yang bermujahadah tidak akan membiarkan dirinya diperhambakan hawa nafsunya, sebaliknya dialah yang mengawal hawa nafsunya.
 
Akhir kata saya tinggalkan pesanan oleh seorang tokoh mujaddid Islam abad ini, Al Imam As Syahid Hasan Al Bana dengan katanya, “Kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan:-
Pertama : untuk agama iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi perkara yang wajib atau fardhu dan yang sunat.
Kedua : untuk mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.
Ketiga : Untuk berkhidmat kepada manusia, iaitu melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka.
Keempat : Untuk kerehatan badan, sebagaimana sabda Baginda Nabi S.A.W yang bermaksud, “sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu” .

Saturday, 9 March 2013

Peringatan Buat Orang Yang Rugi


Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Asr,
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan, orang yang beriman, dan beramal soleh. Dan (mereka yang) mengajak ke arah kebenaran dan mengajak dengan sabar."


Dalam surah ini, Allah menekankan betapa pentingnya masa. Masa yang dimaksudkan ialah, kehidupan kita. Iaitu masa yang diberikan oleh Allah di sepanjang perjalanan hidup kita di dunia.
Pada awal surah ini Allah menekankan, manusia itu (semuanya) dalam keadaankerugian. Tidak kira siapapun, selagi dia bergelar manusia, dia berada dalam kerugian. Namun, Allah tidak berhenti setakat itu. Allah menjelaskan lagi, apakah ciri-ciri yang boleh mengelakkan diri daripada tergolong dalam golongan yang rugi.
Sebelum itu, golongan yang rugi ini adalah golongan yang di dunia merana, di akhirat sengsara. Inilah yang dikatakan rugi. Walaupun di dunia, dia merasa bahagia, walhal dalam keadaan tidak sedar (tanpa mencari kebenaran) dia sebenarnya dalam kerugian.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 103 & 104,
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Mahukah, kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang rugi serugi-ruginya amal-amal perbuatannya?'(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan'."
Inilah orang yang rugi. Dia merasa dirinya berada dalam kebenaran dan kebaikan. Walhal, selagi dia tidak mendapat kepastian dengan mempelajari Islam, selagi itulah dia rugi. pengakhiran bagi orang yang rugi, tidak lain dan tidak bukan adalah kesengsaraan di dunia dan neraka Allah yang amat azab. Na'uzubillah min zalik.
Ciri-Ciri Orang Yang Beruntung
Untuk mengelakkan hamba-Nya dalam kerugian, Allah Maha Pemurah telah memberikan ciri-ciri orang yang beruntung. Allah telah memberi kita dua jalan dalam menyelusuri alam ini. Iaitu Iman dan Kufur, kita boleh memilih mana-mana jalan yang kita sukai. Kitalah yang membuat pilihan apakah pengakhiran kita nanti berdasarkan jalan yang kita lalui.
01.Beriman. Dalam surah al-Asr, Allah mengatakan bahawa, semua manusia ialah orang yang rugi. Namun, Allah mengasingkan orang-orang yang beriman daripada sekalian manusia tadi. Selain daripada orang yang beriman, secara pasti mereka inilah orang yang rugi. Allah kecilkan skop pandangan kepada orang yang beriman. Namun, tidak cukup sekadar itu, Allah kecilkan skop kepada ciri yang kedua.
02.Beramal soleh. Daripada kalangan orang yang beriman tadi, Allah mengasingkan lagi kepada golongan beriman dan beramal soleh. Adapun, yang tidak beramal soleh, mereka ini juga termasuk dalam golongan yang rugi walaupun mereka beriman. Dengan Iman sahaja tidak mencukupi untuk memenangi Syurga Allah yang lebih bernilai daripada segalanya di dunia ini.
Amal soleh ini juga perlu difahami secara jelas. Ramai yang beranggapan cukup sekadar solat, puasa, zakat, haji. Noktah. Inilah pengakhiran amal soleh bagi kebanyakan orang sekarang. Baik.. mari kita kaji, cukupkah empat (4) perkara tadi pelengkap sebagai orang yang beramal soleh?
Dalam kehidupan seharian, kita punyai 24 jam. Masa yang kita peruntukkan untuk solat beserta zikir dan doa, kira-kira 20 min setiap solat fardhu.
Keseluruhannya,
[20 min] X [5 solat] = 100 min = 1 jam 40 min.
Kemudian, ditambah dengan solat-solat sunat, zikir-zikir dan qiamulllail, kita andaikan dua (2) jam dalam sehari.
Dalam sehari,  
[100 min solat fardhu] + [2 jam amalan-amalan sunat] = 3 jam 40 min.
Baik, bila dikira, berapa peratuskah amalan soleh kita dalam sehari?
[3 jam 40 min] / [24 jam] X 100% = 15.3%
Persoalannya, adakah ini dikatakan amal soleh? Adakah cukup dengan 15.3% dari kehidupan kita yang dikatakan amal soleh ini menjamin Syurga di akhirat kelak?  
Tidak wahai saudaraku. Praktikal kita selama ini amat bertentangan dengan suruhan Allah'azza wa jalla. Islam mengajar penganutnya untuk mengamalkan secara keseluruhan ajarannya dan kita tidak boleh mengambil separuh-separuh atau sebahagian daripada ajaran yang kita sukai sahaja.
Sudah pasti, keselurahan itu ialah 100%. Namun, dengan pengamalan kita selama ini, mana hilangnya 84.7% lagi daripada kehidupan kita? Adakah kita menyangka kita benar dan baik?
Berbalik kepada ayat 103, surah al-Kahfi, Allah kata mereka yang menyangka begini sebenarnya dalam kerugian. Balasan bagi orang yang rugi firman Allah,
"(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan." [al-Kahfi: 106]
Oleh itu, sebenarnya, Allah menyuruh hamba-hamba-Nya mengamalkan Islam secara 'total', 100%. Ini adalah semata-mata agar umat Islam bahagia dunia dan akhirat.
84.7% dari kehidupan kita tadi juga ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan panduan al-Quran. Solat, puasa dan lain-lain sahaja tidak cukup untuk dikatakan sebagai orang yang beramal soleh. Untuk menjadi orang yang beramal soleh, 100%, seluruh kehidupan diatur dengan Islam.
Sebagai contoh, aurat. Aurat lelaki amat mudah, namun ada juga yang payah untuk patuh. Aurat wanita berbeza, amat unik kerana wanita ini amat mulia di sisi Islam.
Mereka dibaluti jubah bukan kerana fesyen tetapi kerana bernilainya susuk tubuh meraka. Bernilainya harga diri mereka. Mereka hanya untuk kerabat mereka sahaja. Mereka hanya selayaknya dilihat oleh suami mereka sahaja. Keindahan mereka tidak boleh dipertontonkan pada umum.
Berbalik kepada beramal soleh tadi. Sewajibnya, seluruh kehidupan kita diatur dengan Islam. Daripada sekecil-kecil perkara seperti masuk ke tandas, hingga ke sebesar-besar perkara seperti pemerintahan negara.
Nabi S.A.W telah menunjukkan caranya mengikut Islam. Contoh yang lain, apabila kita berjual beli, hendaklah tiada unsur riba. Apabila bergaul dengan masyarakat, perlu ada batas lelaki dan wanita. Apabila kita bekerja, perlulah yang halal.
Apabila kita berjuang untuk Islam, sebenarnya kita berjuang untuk mendapatkan Syurga. Inilah jual beli kita dengan Allah. Begitu juga dengan sistem kehakiman, pendidikan, pemerintahan dan lain-lain. Semuanya wajib diatur dengan Islam, barulah dikatakan beramal soleh.
Di sini kita lihat, indah apabila semuanya diatur dengan Islam. Sejak mata dibuka di awal pagi, sehingga kita menutup mata kembali, semuanya diatur dengan Islam. Inilah golongan yang Allah golongkan sebagai orang yang beramal soleh. Namun, tidak cukup sekadar itu, Allah kecilkan lagi skop pandangan orang yang beruntung.
03.Mengajak ke arah kebenaran. Apa itu kebenaran? Yang hakiki, pasti 100% ISLAMsahajalah yang benar. Islamlah satu-satunya kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu, orang-orang yang tidak mengajak ke arah kebenaran walaupun mereka beriman dan beramal soleh tetap dikira rugi. Mungkin ramai yang menyedari kita perlu bersama-sama mengajak ke arah kebaikan. Namun, tidak semua yang berjaya memilih jalan yang betul. Ya, banyak kumpulan-kumpulan yang mengajak membuat kebaikan, tetapi, dalam yang banyak itu, yang manakah menuruti jalan Islam dengan benar? Mana satukah menuruti jalan Nabi S.A.W dengan benar?
Oleh itu, kita perlu bijak mengkaji dan memilih, kumpulan yang manakah yang boleh kita ikuti.
04.Mengajak dengan sabar. Ciri keempat inilah pelengkap. Orang-rang yang beriman, beramal soleh, ajak ke arah kebaikan dan dengan sabar, mereka inilah orang yang terkecuali daripada golongan yang rugi.
Inilah tafsiran surah al-Asr, surah yang amat singkat. Tafsiran yang masih banyak lagi lopongnya. Erti kata lain, ilmu Islam ini amat luas, sehinggakan tidak habis untuk kita pelajari. Saya mengajak diri saya sendiri, dan juga semua untuk sama-sama kita menghitung balik diri kita. Persoalkanlah dalam diri kita, apakah kita sudah beriman? Apakah kita sudah beramal soleh? Apakah kita sudah mengajak ke arah kebaikan dengan sabar?
Tanyalah diri kita. Tanyalah sebelum Mungkar dan Nakir yang amat kasar bertanya kepada kita. Tanyalah diri kita sebelum pintu rahmat Allah tertutup. Sayangilah keluarga kita. Kita pasti mahukan semua keluarga kita bersama-sama di Syurga.
Inilah kebahagian sebuah keluarga yang hakiki. Bertanya, Kemudian bertindak dengan cara apa jua. Ayuh bersama-sama menerapkan 100% Islam dalam kehidupan kita. Maksiat yang kita lakukan selama ini, sama-sama bertaubat. Larangan yang kita langgar selama ini, ayuh kita hentikan. Suruhan yang kita abaikan selama ini, ayuh kita laksanakan.
Sungguh benar kata Allah, Allah kurniakan dua jalan. Kita manusia berkuasa penuh memilih, jalan Iman mahupun ingkar. Tiada yang pertengahan. Tiada juga yang diistilahkan sederhana(moderate). Ketahuilah, Islam itu lengkap 100% tidak boleh dibahagi-bahagikan lagi.
Moga perkongsian ini dapat dimanfaatkan dan dikongsikan kepada insan-insan yang kita sayangi dengan harapan, kita semua berjumpa di satu tempat yang sama, Syurga.
Wallahu a'lam...